Ahad, 5 Mei 2019

Siri Sesekali Berlabun
Masin mulut cikgu..
Bila masuk bulan Mei dari kecil sampai dah 'besar panjang' meminjam istilah lama, tak berubah pun tarikh hari guru. Jangan lah dipanjangkan akan maksud panjang. Bila dah besar tu banyak yang panjang, panjang akal, panjang langkah mendepani kehidupan.
Cuma hari guru pada tahun ini dah ada sekolah yang sambut awal sebelum 16 Mei. Kebetulan bulan Mei tahun ini ketibaan bulan Ramadan, mungkin kesibukan untuk beramal ibadat pada bulan mulia ganjaran berganda nanti, sambutan hari guru peringkat sekolah disambut awal.
Berlabun kali ni nak cerita tentang kenangan dan anak yang mengajak pergi kedai cederamata untuk mencari hadiah hari guru. Memuliakan guru dengan hadiah tanda ikhlas sebagai satu perkara yang saya banggakan. Jadi tak perlulah nanti ada pulak majlis nak dihalalkan ilmu yang dicurahkan. Mengajarlah dengan penuh ikhlas pandangan saya sebagai ayah dan guru. Pasti ada balasan ganjarannya, insya-Allah berlimpah pahala 'murabi'.
Tapi kadang-kadang anak-anak lupa emak ayahnya juga cikgu, tapi cikgu disekolahlah yang diberi kepercayaan penuh dalam perkara tertentu. Itulah pengaruh cikgu cukup besar dalam proses anak murid menjadi 'besar panjang'. Jadi tiadalah saya mendapat hadiah hari guru dari anak-anak melainkan hari-hari lain. Bila dikenang kembali saya pun tak pernah bagi hadiah hari guru kepada ayah saya biarpun ayah saya juga seorang guru. 'Like father like sons' la.
Teringat pula guru saya zaman belum 'besar panjang lagi pergi sekolah menengah boleh pakai seluar pendek kasut putih. Budak kelas hujung masa ni aliran sastera, subjek Kesusasteraan Melayu ni mesti ambil la. Ni la subjek markah tertinggi yang saya 'score' tiada tandingan masa tu. Subjek lain tu entahlah markah rendah dan kebawah menjadi genggaman.
Subjek yang boleh saya 'score' tinggi tiada tandingan inilah saya gagal bersama rakan sekelas yang lain dalam SPM kali pertama. Entahlah bila diteliti kembali kata-kata guru kesusasteraan saya ada perkara yang tak mahu didedahkan bermain difikiran. Benar apa yang dikatakan cikgu, 'memang masin mulut cikgu'. Terima kasih cikgu atas ilmu yang dicurahkan.
Berbekal SPM kemudiannya itu saya bekerja sebagai wader penjara dan cukup sinonim dipanggil 'cikgu' oleh para banduan. Akhirnya saya menjadi seorang guru juga dengan cuti separuh gaji bidang pendidikan Kesusasteraan Melayu dan pengalaman itu adalah guru yang terbaik
Takdir penentu segala, kerana takdir juga menentukan saya menjadi guru pada usia 37 tahun di sekolah setelah mengenggam Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu dan menjadi guru mengajar bakal guru di Institut Pendidikan Guru setelah mengenggam Sarjana Pendidikan Kesusasteraan Melayu. Saja nak labun subjek Kesusasteraan Melayu kelas hujung dahulu menjadikan saya guru atas kehendak-Nya.
Maka bermulalah perjalanan 'besar panjang' saya dalam dunia pendidikan yang mengajar saya kegigihan dan erti belajar bersungguh-sungguh seperti apa yang guru yang mengajar saya di sekolah dulu beritahu. Terima kasih cikgu.
Selamat Hari Guru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan