Inilah Barisan Kita
Semangat
patriotik ku bagaikan membara membaca suratkabar yang memaparkan pencerobohan
di Lahad Datu, ku tutup dan lipat kembali suratkhabar yang telah kubaca.
Bagaikan terusik setelah mengikuti laporan perkembangan yang berlaku. Bermenung
panjangaku memikirkan apa yang telah ku baca dengan perasaan berbaur geram,
marah apabila kedaulatan tanah air negara Malaysia yang ku cintai di cerobohi.
“Cis bedebah sungguh musuh!,” bicara hatiku lagak bagaikan pahlawan silam, maka
teringat kata-kata azimat biar berputih tulang dari berputih mata. Aku bagaikan
bermonolog sendirian kerana cintaku pada negara dan keamanan. Sejarah banyak
tercatit keganasan akan membawa kemusnahan yang cukup difahami oleh semua
orang. Orang-orang tua dahulu yang pernah menghadapi sesuana keganasan yang
pernah berlaku di tanahair sering mencanangkan kesan keganasan pada zaman Jepun
darurat dan sebagainya.
“Ini tanahair
kita, ini maruah kita, seinci diusik bagai tergadai maruah kita,” makin kuat
suara hati berbicara. Ini belum diambil kira dalam sejarah tanahair pernah
berlaku pembelotan dari dalam dengan bantuan si pengkhianat dan sidurjana yang
memberi bantuan. Pembelot ini bagaikan melacur maruah demi agenda
masing-masing. Teringat pesan orang tua-tua tak kan pisang berbuah dua kali,
namun bagaikan sejarah berulang yang tidak kita ambil iktibar.
Pembelot-pembelot negara ini tidak harus dibiarkan hanya hukuman mati yang
sepadan buah mereka. Marah ini makin menjadi-jadi kerana sayang seorang anak
watan kepada tanahairnya seharusnya menebal dalam diri yang tidak boleh
digugat.
Musuh ini harus
ditentang walau nyawa yang menjadi galang gantinya, biar nyawa bercerai jasad
demi mempertahankan tanahair. Musuh yang tak diundang harus disingkir dan
dihapuskan, andai perwira-perwira negara gugur, taburkan bunga di atas pusara,
setidak-tidaknya kita iringkan doa kepada pasukan keselamatan negara agar dapat
menumpaskan petualang negara. Pengorbanan mereka tidak terbayar dengan wang
ringgit kerana nyawa dipertaruhkan demi negara. Kepentingan negara dan cinta
kepada negara mengatasi cinta dan kasih sayang seorang isteri yang menjadi
balu, anak yang menjadi yatim, ibu bapa yang kehilangan anak yang tercinta dan
saudara-mara dan sahabat handai yang kehilangan orang yang tersayang. Patah
tumbuh hilang berganti namun tak kan sama dengan mereka yang telah pergi buat
selama-lamanya
Peluru memang
tak bermata dan petualang tak mengenal mangsa demi kerakusan serakah mencapai
matlamat yang sia-sia. Petualang ini juga bagaikan mabuk darah demi mencapai
matlamat perjuangan yang tidak nyata. Membuta tuli dan hilang sifat kemanusiaan
dengan perlakuan yang durjana yang makin menggila walau diberi susu tuba yang
di balas. Petualang bangsat ini adalah anjing-anjing suruhan yang berani secara
sembunyi tanpa berani berdepan dengan barisan hadapan negara yang kental
semangat keperwiraannya. Gugurnya pahlawan negara adalah haruman kasturi yang
semerbak di seluruh pelusok negara yang tercinta. Kami rakyat Malaysia mohon
doa Malaysia berjaya.
Semboyan itu telah
berbunyi menuju medan bakti yang menagih semangat kental perjuangan yang terus
maju pantang berundur, sekali melangkah tiada apa yang dapat memisah, hanya
kuasa Allah yang menjadi penentu segala. Andai barisan hadapan rebah akan ada
lagi banteng pemisah yang menjadi penghalang untuk musuh menerjah. Bersatu kita
teguh tak kan kita bercerai roboh demi tanahair tumpah darah ini.” Bukan hanya
jasad yang pasti menjadi benteng, malah jiwa dan raga rela kami serahkan,”
ungkapan kata-kata yang terucap dari jiwa kepahlawanan yang ada dalam diri
setiap anak watan. Sumpah dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada
keluhuran pelembagaan dan kedaulatan undang-undang yang dipertegakkan di atas
kerukunan negara yang dijunjung. Kesetiaan kepada Raja dan Negara harus
dibuktikan dinegara berdaulat ini di bawah Lembayung Rahmat Seri Paduka Baginda
Yang Dipertuan Agong. Sekalung penghargaan tidak terhingga pada pihak
keselamatan negara yang bertungkus lumus mempertahankan kedaulatan negara
dengan keringat yang tertumpah menjadi bukti sumbangan bakti buat pertiwi.
Lunas undang-undang harus menjadi pelengkap kepada pengajaran kepada
anasir-anasir lain yang cuba menangguk di air keruh. Perpaduan utuh adalah
teras kepada negara yang tidak memungkinkan musuh-musuh durjana mengambil
kesempatan atas kealpaan kita semua.
Ingatan ku
kembali mengimbau ketika zaman kanak-kanak ku di kampong, di mana rata-rata
sahabatku termasuk diri ku bercita-cita apabila besar nanti mahu menjadi askar
kerana bagi kami ketika itu kerjaya yang sangat hebat dapat berbakti kepada
negara. Pengaruh- pengaruh filem ketika itu turut menyuntik semangat kami untu
menabur bakti antaranya filem Sarjan Hassan lakonan Allahyarham Tan Sri
P.Ramlee yang banyak menanam nilai-nilai cinta kepada negara yang menebal.
Aktiviti aku
bersama rakan-rakan yang lain ketika itu, celik saja mata pada hari cuti
sekolah tentulah bermain perang-perang dengan menggunakan kayu dan bahan lain
yang boleh dijadikan senapang. Cukup seronok merasai suasana zaman itu bermain
perang-perang yang secara tidak langsung menebalkan semangat patriotik dalam
diri kami. Semangat patriotik itu tidak pernah padam walaupun cita-cita ku yang
dulu tidak menjadi nyata namun aku turut berbangga ada rakan-rakan kami membawa
cita-cita itu menjadi kenyataan. Aku cukup berterima kasih kepada pasukan
keselamatan dengan berbakti menjaga keselamatan dan ketenteraman kami sebagai
masyarakat dapat menjalani kehidupan tanpa rasa tergugat dan terjamin dibumi
bertuah ini.
Mungkin generasi
sezaman dengan ku menghafal lirik lagu-lagu patriotik yang sering berkumandang
dicorong-corong radio di zaman tersebut. Walaupun lagu-lagu tersebut diberi
nafas baru pada zaman kini dengan penggubahan rentak baru dan dinyanyikan oleh
penyanyi baru. Namun bagiku nostalgia lagu-lagu patriotik yang menyuntik
semangat keperwiraan dalam diri masyarakat pada zaman tersebut cukup menyentuh
naluri sebagai anak bangsa yang sayang akan negaranya, secara tidak langsung
membina jati diri bangsa. Lagu-lagu patriotik tersebut sepatutnya tidak hanya dimainkan
ketika menyambut hari kemerdekaan sahaja sepatutnya dihayati sepanjang masa.
Alhamdulillah
sejak dari kecil aku amat mengagumi penyanyi asal lagu Inilah Barisan Kita yang
dapat ku dengari melalui corong radio. Suara garau yang menyanyikan lagu ini
dengan penuh penghayatan dan bersemangat cukup menarik minat ku pada ketika itu
dengan barisan lirik yang penuh bermakna. Aku teliti setiap bait-bait lirik dan ku fahami dengan mendalam maksudnya.
Cukup indah dan bermakna yang membangkitkan semangat ku mencintai negara
tercinta. Secara tidak langsung membentuk warganegara yang bertanggung-jawab
kepada negaranya. Bagi ku pelbagai tafsiran yang dapat dibuat namun lagu Inilah
Barisan Kita yang sering kami nyanyikan ketika zaman kanak-kanak ketika bermain
perang-perang terus melekat dan sebati dalam diri ini.
Beberapa bulan sebelum
pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu aku berkesempatan mewawancara penyanyi asal lagu ini Jamaluddin Alias yang
bertugas sebagai penyiar di RTM dalam usaha aku membantu Dr Talib Samat Tokoh Pengarang
Negara yang turut berjuang melalui mata pena,
menyiapkan biografi bekas kakitangan RTM. Usaha Dr Talib Samat
menzahirkan kekentalan pengorbanan perajurit tanahair dan perjuangan beliau
melalui bidang penulisan sehingga melahirkan ratusan buku. Buku berkaitan
peristiwa Lahad Datu melalui puisi dan cerpen memberi kesan kepada generasi
muda melalui dunia kesusasteraan.
Aku amat
bersyukur akhirnya aku dapat bertemu dengan beliau yang kini telah melewati
umur 70an yang menceritakan betapa bangganya beliau dapat menyanyikan lagu
Inilah Barisan Kita ketika itu. Ketika menyanyikan lagu tersebut menurut beliau
dapat menaikkan semangat beliau dan kekuatan dalaman yang dapat dirasai. Walaupun kekuatan fizikal itu tiada lagi pada
beliau yang telah dimamah usia namun, “ kekuatan dalaman itu masih menebal,”
katanya bersungguh. Selain itu beliau turut menyumbangkan suara beliau dalam
lagu-lagu patriotik yang lain seperti Malaysia Berjaya, Samudera Raya dan yang
lainnya. Bagi saya kekuatan vokal beliau amat serasi dengan lagu patriotik
sehingga kini amat sukar untuk di cari ganti. Tugasan beliau ketika berkhidmat
membuat liputan dalam apa jua keadaan banyak memberi iktibar kepada beliau
untuk berpesan kepada generasi muda kini untuk mencintai negara dengan
mengekalkan keamanan.
Ini terbukti
jika kita sendiri menghayati lagu tersebut seperti membangkitkan semangat kita
bukan saja untuk berjuang dimedan medan perang malah untuk bertempur dalam apa
jua bidang yang dapat membangunkan negara. Kemakmuran negara yang dikecapi
adalah pengorbanan yang dilakukan oleh para perajurit negara sejak dari dulu
lagi seperti yang terdapat dalam bait-bait lirik lagu tersebut.
Namun aku
berbangga dengan sikap prihatin rakyat yang cinta akan negaranya dan atas dasar
terima kasih kepada pihak keselamatan sebuah tabung telah ditubuhkan. Walau
kami tak mampu berjuang mengangkat senjata namun kami amat prihatin akan
bebanan yang akan ditanggung oleh waris pejuang negara dan anggota keselamatan
yang tercedera dalam mempertahankan tanah air serta mereka yang turut terbabit.
Wang ringgit ini bukanlah ukuran tetapi sebagai tanda kami tetap bersama dalam
perjuangan ini. Biarlah kebukit sama kita daki dan kelurah sama dituruni, yang
ringan sama kita jinjing yang berat sama kita pikul. Biarlah kami menjadi
barisan belakang dengan semangat kesukarelaan untu membantu dengan apa yang
terdaya.
Aku mula
bernyanyi kecil menyanyikan lagu tersebut, “ inilah barisan kita, yang ikhlas
berjuang, siap sedia berkorban, untuk ibu pertiwi……” “sebelum kita berjaya,
jangan harap kami pulang,inilah sumpah pendekar kita, menuju medan
bakti…,””andai kata kami gugur semua, taburkan bunga di atas pusara, kami mohon
doa Malaysia berjaya….””semboyan telah berbunyi, menuju medan bakti…”
Pada yang telah
gugur kami taburkan bunga di atas pusara, moga mendapat ganjaran di sana,
pemergian kalian penuh bermaruah demi agama,bangsa dan negara. Perjuangan itu
akan terus terpahat disanubari sejarah yang tak akan terpadam selama-lamanya.