Ahad, 12 Mei 2019

Siri Sesekali Berlabun
Abang Aney Barang Lusuh
Pagi-pagi lagi lori abang aney barang lusuh bersama rakaman laungan barang lusuh yang mahu dibeli, mengelilingi kawasan perumahan saya. Mencari rezeki membeli barang-barang lusuh, tapi bukan semua barang lusuh ada 'value' harga yang mahu dibeli oleh abang aney. Maka yang tak ada market value jadi sisa pepejal aja la tunggu abang kebersihan datang kutip di hadapan rumah pula.
Deruman lori usang abang aney dan asap lori yang berkepul-kepul memang 'icon' barang lusuh juga, saya ada bagitau abang aney "abang aney! awak punya lori pun sudah lusuh, tak mau jual ka?" maklum saya pada abang aney ketika betul-betul berhenti di depan rumah saya. Balas abang aney "ini cari makan punya lori, mana boleh jual". "ada orang mau beli ka abang aney?",tanya saya lagi. "Dey! nanti saya sendiri beli saya punya lori la," tawa kecil abang aney.
Mungkin rezeki Ramadan abang aney juga dapat tempias rezeki berganda. Time cuti ramai yang berkemas rumah untuk menyambut Syawal. Ketika mengemas rumah bulan Ramadan ni baru ditemui banyak pula barang lusuh yang ditemui. Maklumlah kesibukan bekerja mana ada masa nak sisih benda tu semua.
Tapi tu la kalau diikut nafsu banyak barang akan dikira lusuh dek godaan 'sale' raya dengan tawaran harga mampu beli sebab nak raya kan? tambahan pula macam dapat rasa ada nak dapat bantuan hari raya dari gomen yang prihatin hal rakyat.Jadi kemeriahan menyambut hari raya dalam pemikiran kita mesti ada yang baharu. Paling tidak mesti ada baju raya kan?
Cuma lagu raya baharu sahaja yang tak dapat 'evergreen' kenangan indah kita, betul tak? lama mana pun lagu raya tu, masih mendapat tempat di hati dari senikata sampailah iringan muzik. Ada 'sentimental value' di hati kita.
Abang aney masih terpacak di halaman rumah saya menantikan apa habuan yang dapat dibelinya. " surat khabar lama tak ada la abang aney saya sudah lama tak beli," labun saya pada abang aney. " itu news ka apa ka dengan jari juga saya kasi baca," tambah saya lagi, sengeh abang aney seakan mengerti.
Botol-botol plastik banyak la sebab sekarang bila mandi tak pakai sabun dah, pakai losyen mandian dengan terapi haruman yang menyegarkan. Siap campur susu kambing lagi. Abang aney kata botol plastik tu pun boleh dia ambil ada harga katanya.
Barangan elektrik lama pun abang aney terima seadanya dengan harga yang terlalu nipis. Maka ada sebuah mesin basuh lama yang telah rosak yang saya baiki pun perlu kos yang tinggi. Kebetulan lori usang abang aney pun sedia menanti. Di atas lori abang aney lah tempatnya dan tanpa timbangan abang aney beri saya rm 5 sebagai balasan.
Lalu saya masukkan rm 5 ke dalam sampul hari raya yang baru yang saya perolehi ketika membeli barangan dapur di sebuah pasaraya. Abang aney membeli barang lusuh dengan lori usangnya sentiasa ditemani anaknya yang meningkat remaja membantu.
Saya pun menyerahkan sampul hari raya kepada anak abang aney, dia menerima dan bersalam "terima kasih uncle, selamat hari raya," ucapnya walaupun baharu masuk hari ke enam berpuasa dan berlalu pergi bersama deruman usang lori abang aney barang lusuh.
Siri Sesekali Berlabun
Sampul
Menjelang hari raya nanti antara yang menjadi perhatian adalah sampul. Walau secantik manapun keindahan sampul tersebut tetapi nilai keindahan yang sebenar adalah isi yang terkandung mengikut warna berapa keping yang terisi.
Sampul akan terbuang sepi setelah isinya dikeluarkan. Tapi ada juga yang menjadikan sampul sebagai koleksi atau boleh diguna semula. Selalunya pergi ke majlis perkahwinan sampul hari raya di 'recycle' semula ketika bersalam dengan ibu-bapa pengantin. Salam kaut faham-faham aje la.
Kali ini nak berlabun pasal sampul walaupun sekiranya tiada sampul, tidaklah hari raya terpaksa dibatalkan tetapi kemeriahan dan kegirangan para penerima sampul akan tergugat.
Salah tafsiran jika mengatakan penerima sampul ini kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Kanak-kanak bawah 12 tahun ni kebanyakan perkara yang berkaitan dan sewaktu dengannya dibayar separuh harga.
Jadi jika diberi sampul yang berisi separuh harga pun tak ada masalah 'no complenment' kalau 'complent' juga dapat sampul berisi separuh harga kanak-kanak ni mungkin ada 'talented' boleh jadi pakar ekonomi. "budak-budak tak boleh pegang duit banyak-banyak" kata Haji Bakhil.
Penerima sampul bertuah juga boleh melebehi had umur tadi hingga ke paras yang lebih berumur. Pemberian sampul tadi bukanlah sama level dengan kanak-kanak, cuma sebagai sedekah atau penghormatan kepada individu tertentu terutama kedua orang tua. Bukan hormat dan kasih dinilai dengan sampul tetapi lebih kepada penghargaan tanda kasih dengan memberi sedikit pemberian di dalam sampul.
Berlabun tentang sampul mengikut susur galur dalam menyambut hari raya bukanlah berakar umbi dari budaya Melayu. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan beberapa budaya diterima pakai menjadi budaya Malaysia.
Penggunaan sampul hari raya berdasar kajian rambang saya secara meluas bermula sekitar 80 an kerana saya masih menjadi penerima sampul ketika itu. Pelik juga bila dapat sampul ketika itu. Tapi bila diselak dalamnya ada 'note' kertas $ 1 ada bau duit baru dari bank dalam sampul. Masa tu tanda RM belum digunakan lagi. Baru nak merasa duit kertas kalau sebelum tu duit raya dapatlah 20 sen ke 50 sen mengikut rumah yang dikunjungi.
Kebaikannya tiada lagi duit syiling sebagai duit raya dan agak tidak sesuai diletak dalam sampul dan menimbulkan ketidak selesaan kepada penerima sampul, sesuai dengan kenaikan nilai ringgit. Ada penulisan laras ekonomi tu. Student saya Pjj UUM Pengantar Penulisan amat faham bab laras-laras bahasa ni.
Jadilah zaman tersebut sudah cukup baik saya menjadi penerima duit raya selain berkumandang lagu 'Sepasang Kurungan Biru' Khairel Johari Johar yang sedang popular ketika itu. 'So sweet' masa tu selain 'so sweet' moment masa kahwin la...

Jumaat, 10 Mei 2019

Siri Sesekali Berlabun
Masak
Kali ni nak berlabun tentang masak sempena bulan Ramadan al-Mubarak. Maka tercari-cari lah di hujung jari segala pautan yang terdapat dalam dunia maya akan hal menu untuk masak memasak. Tak cukup sehari sebulan punya menu telah dibindingkan untuk dijadikan rujukan. Bermula dari menu berbuka sampailah bersahur. Itulah cita-cita tinggi sebelum memasuki bulan Ramadan dan berpusu-pusu yang berkerjaya memohon pulang awal dengan alasan hendak masak. Tetapi kita hanya mampu merancang, bazar Ramadan juga yang disinggah mencari menu yang telah dimasak. Senang, nanti balik hidang je untuk berbuka.
Cita-cita nak masak sepanjang bulan Ramadan ni bukanlah tak tertunai, tetapi maklumlah berkerjaya kesuntukan masa dan tugas hakiki di rumah yang memaksa untuk tidak memegang senduk dan periuk. Macam-macam nak diuruskan dari hal rumahtangga sampailah urusan anak-anak sebab para isteri ni tak nak ganggu suami. Para suami pasti sibuk nak bersiap-sedia fizikal dan mental untuk bersolat sunat terawih nanti.
Mungkin cuti adalah masa sesuai nak masak, kalau gamitan berkunjung membeli belah tidak menjelma. Tapi masa cuti ni la peluang nak bawa anak-anak membeli baju raya dan peralatan hari raya. Kalau lambat ‘masak la’ berasak-asak beramai-ramai memakmurkan pasaraya dan tempat membeli belah berkaitan hari raya. Senang buat persediaan awal nanti tak lah ‘masak sangat’ berkemas untuk pulang ke kampung untuk berhari-raya.
Di samping itu sibuk nak berurus-niaga lagi dengan segala tempahan untuk kuih hari raya yang bakal menjadi pilihan untuk ditempah. Aneka rasa dan aneka nama segala jenis kuih raya juga dihujung telunjuk jari anda. ‘Just tunjuk’saja berbalang kuih raya boleh menjadi milik anda. Belum kira tempahan dari rakan-rakan sekerja, handai taulan dan sanak saudara yang berkecimpung dalam dunia pembuatan kuih raya sempena menyambut Syawal nanti. Menu kuih raya dengan harga kasih sayang yang di masak oleh orang lain cuma perlu bayar je walau berdondon-dondon dah menonton rancangan masakan kategori masak kuih hari raya.
Bila disebut rancangan masakan maka disajikan lah rancangan-rancangan televisyen, jika kita berkesempatan menonton, penuhlah rancangan masak ni dari tukang masak yang dah tentu kerjayanya masak-memasak hingga ke selebriti yang muda dan tua yang nampaknya rajin menjengah dapur. Jadi sepanjang Ramadan ni banyak lah kita dihidangkan dengan rancangan masak ni dengan tajuk-tajuk yang menarik dan tetamu undangan yang disukai ramai. Selalunya menu rancangan masakan untuk berbuka puasa setaraf ‘buffet’ yang ditawarkan sepanjang bulan Ramadan. Golongan suka berbuka di luar pasti lebih arif di mana tempat yang menawarkan menu dan harga terbaik. Bukannya apa berbuka di luar dapatlah ‘iftar’ bersama rakan atau ‘gathering’ keluarga merupakan alasan kukuh.
Selain masak-memasak, minyak masak pun ada dua darjat antara minyak masak yang di botolkan dengan harga yang tak disubsidikan. Maka diberi pilihan samada nak menggunakan minyak masak yang tinggi darjatnya atau minyak masak yang dibungkus dengan harga subsidi. Apa pun darjatnya kita tetap menggunakan minyak masak dalam kehidupan kita terutama acara masak memasak. “Bang! Gas masak dah habis,” tetiba ada suara dari dapur, so sampai di sini dulu, sebab ada seruan yang kena saya uruskan atau ‘another choice’ kenalah bawa ‘iftar’ kat luar. Baru betul-betul ‘masak’…
Siri Sesekali Berlabun
Puasa 'Old School'
"Kita beroleh kemenangan yang pertama," dialog yang dituturkan dalam sebuah filem klasik 'Nujum Pak Belalang,'. Filem ni bukan sahaja diminati oleh para 'old school' tetapi turut diminati oleh 'new generations', buktinya filem ini masih mampu memikat penonton di televisyen biar pun dah berkali-kali ditayangkan. Sekiranya anda adalah 'new generations' dan mampu tersenyum dengan dialog tadi, andalah yang saya maksudkan yang masih meminati filem klasik ini.
Kemenangan pertama yang diraih yang ingin saya labun di sini, kita telah berjaya melalui hari pertama berpuasa dengan menahan diri dari godaan hawa nafsu yang boleh membatalkan puasa kita. Kira ‘ok’ le mampu bertahan dengan peningkatan iman. Cuma godaan memeriahkan pasar Ramadan tu yang agak sukar sedikit kerana jiwa nak membantu kan?, masa ini lah nak membantu usahawan Ramadan mengikut ‘teori ekonomika poket sendiri’. Dari segi ganjaran pahala yang kita perolehi biarlah Allah swt yang menentukan dan kewajipan kita melaksanankan tanggungjawab yang wajib bagi melengkapkan rukun Islam.
Macam bagi tazkirah pulak, sebelum sembahyang sunat terawih atau berhenti seketika ketika melaksanakan terawih. Bab bagi tazkirah semasa berterawih ni mengikut keputusan jawatan kuasa surau atau masjid kerana sembahyang sunat terawih ni, tidak dilakukan dengan tergesa-gesa. Tapi ada juga yang mahu bersegera kerana hari esok nak bekerja. Wallahualam! biar apa pun pendapat di bulan yang mulia ini banyak ganjaran yang harus direbut kerana pahalanya berganda.
Bila sebut 'Old School' apa kaitan dengan puasa ni, cuma nak bagi tahu, istilah ni bagai membawa maksud orang-orang lama yang bersekolah di era tertentu. Mungkin bermula era 60an keatas kerana tak ada pulak kajian spesifik tarikh pemulaan ‘old school’ seperti tarikh pemulaan puasa dan hari raya.. Mungkin juga zaman persekolahan ‘English medium’ dahulu walau kini ada usaha diperkenalkan kembali dengan nama yang berbeza.
Cuma saya cukup bersyukur dilahirkan di penghujung tahun 60 an kerana merasai suasana perkembangan teknologi, negara ini dapat dirasai. Termasuklah tempias zaman ‘pop yeh yeh’ adalah terkena sedikit. Teknologi zaman sekarang semuanya di hujung jari cuma sentuh sahaja, tapi zaman ‘Old School’ dahulu di bawah ketiak kerana zaman ‘public phone’ belum ada ‘handphone’, cuma bawa suratkhabar dengan mengepit dibawah ketiak ke sana ke mari. Apatah lagi suratkhabar berbahasa Inggeris bertambah lah bangga dikepit.
Tu la bila dah bagi ‘hints’ tahun kelahiran ni nampaklah sikit’ keumuran’ bukan’ ketuaan’. Sebab tu saya tak suka jadi ketua, saya nak jadi’ kemuda’ Tapi perangai kenalah berubah jangan sampai ‘ke tua’ tak berubah juga, apatah lagi sambutan Ramadan kali ini yang ke 50, bimbang juga takut tak sempat Ramadan seterusnya. Bila sebut ‘kemuda’ ramai pulak yang kata saya nampak ‘awet muda’ dan untuk pengetahuan saya tidak pernah menggunakan sebarang bahan pengawet yang terlarang. Cuma orang rumah saya melarang tengok ‘awek muda’ je, tu pun kalau saya teringat. Sempena bulan mulia ini bukan sahaja kena manahan lapar dan dahaga sahaja malah menahan pandangan juga harus dijaga. InsyaAllah.
Cuma perbezaan yang saya rasa ketika zaman ‘old school’ berpuasa terasa begitu lama pada ketika itu. walaupun zaman tersebut kita telah melalui penyelarasan waktu untuk seluruh Malaysia menjadikan waktu di Semenanjung awal 30 minit. Hendak menantikan waktu berbuka terasa begitu lama tetapi tidaklah lama seperti beberapa buah negara benua Eropah yang melalui tempoh puasa yang panjang. Mungkin faktor perasaan yang masih ‘kemuda’ ketika itu semua nak cepat dan mungkin juga faktor ketuaan yang telah menjadikan saya seorang yang sabar dan bulan puasa ini banyakkan bersabar.

Ahad, 5 Mei 2019

Siri Sesekali Berlabun
'Mantai'
Kali ni nak berlabun mengenai 'mantai', bagi yang dah tahu istilah tersebut tentu arif dan faham sangat terutama yang berasal dari Negeri Sembilan. Saya yang dah lama pakai alamat Negeri Sembilan pastinya juga mengetahui istilah 'mantai' ni apatah lagi 'my lovely wife' berasal dari Negeri Sembilan. Mahu terharu habis orang ghumah den terbaca ayat ni.
Jadi asimilasi pembudayaan setempat telah berlaku dalam diri saya menyerap dalam situasi dan suasana ibarat 'masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kobau menguak',' lain padang lain belalang' memahami budaya setempat. Berasal dari negeri 'yob' ke negeri 'jang' kalau bergabung jadi 'Jang Yob' pulak macam nama Korea walaupun saya berkulit gelap memiliki ciri-ciri lelaki Melayu sejati.
Tapi orang ghumah den bagitahu ghoman (iras-iras) baiya hindustan adalah, sebab tu dia kata tak minat cerita hindustan sebab hero hindustan dah ada dalam ghumah tapi "hidung aja la" beritahunya selamba.
Kembali berlabun tentang 'mantai' ni bukan sahaja kemeriahan menyambut tibanya bulan Ramadan berkunjung ke pasar sehari membeli daging sekilo rm 34 dan lemang yang telah tersedia jual. Sayur-sayur kampung yang turut ditemui bersama daging salai dan yang lainnya yang akan dimasak mengikut menu Negeri Sembilan seperti suasana menyambut hari-raya.
Kemeriahan mantai sebenarnya menunjukkan rasa gembira dapat bertemu kembali bulan Ramadan. Anak muda yang bekerja di luar akan berpusu-pusu balik menyambut puasa bersama ibu-bapa di kampung. Ibu-bapa akan sibuk mencari buluh lemang untuk membakar lemang menanti kepulangan anak menantu.
Masakan wajib seperti rendang maman ayam, itik atau daging dan sambal tempoyak daun kayu.Di tambah masakan lemak cili api daging salai dan seumpamanya adalah menu wajib sehingga bersahur nanti. Satu ketika dulu difahamkan dibawa juga semasa berteraweh nanti dan dimakan bersama-sama.
Jadi kemeriahan mantai ini bukan sahaja bertumpu kepada jualan dan makanan sahaja sebaliknya suasana kegembiraan untuk melaksanakan ibadat di bulan pahalanya yang berganda. Selain merapatkan ukhwah dan sailaturahim generasi muda dan tua selari dengan Negeri Sembilan negeri beradat.
Jadi saya yang dah yatim piatu walaupun dah berumur insyaAllah turut merai kan mantai di kampung orang ghumah dengan penuh rasa kegembiraan bersama ibu dan ayah mertua yang menanti...
Selamat Berpuasa Di Bulan Ramadan al kareem.
Siri Sesekali Berlabun
Kancil Minyak Hijau
Kali ini nak berlabun pasal kereta bukan nak cerita ada kereta harga dewa-dewa tapi nak cerita kereta yang teramat berjasa 'kecil jangan disangka anak, besar jangan di sangka bapa'. Andai nampak kecil dan muda belum tentu anak tu...Biasalah ternakal sedikit bila dah berusia ni biang keladi dan gatal kulit sama naik..ayat klise 'lelaki' kan...
Nilai pasaran semasa kalau ditimbang kilo lagi mahal rasanya. Tapi bukanlah saya nak meletak nilai tahap keberjasaannya serendah itu tetapi belajarlah menelan hakikat walaupun pahit.
Sepahit menelan harga minyak hijau yang meningkat entah sampai paras syiling mana akan naik harga. Biarlah gomen pilihan pangkah ada jawapan untuk marhain. wallahualam..
Lagi pun kancil 'wira yang tak didendang' ini dah habis bayar sekian lamanya. Kenangan itu ada 'sentimental value' yang sukar nak di'delete'. Pernah satu ketika abang pengangkutan jalan pernah tahan dalam satu sekatan. Kancil yang tersenggut-senggut pun diminta berhenti kerana dari jauh abang pengangkutan jalan dah tahu cukai jalan telah terkubur. Reda je la ketika itu bulan belum cukup penuh untuk 'reniew roadtax'. Marhain kan? bukan niat nak langgar 'rules' macam lori yang bawa lebih muatan.
Kesannya dapat la surat naik mahkamah dan dapatlah saya belajar tentang undang-undang jalan raya di mahkamah. 'Positif thinking' itulah hikmahnya bila berani mengaku bersalah depan majistret dan buat rayuan dengan muka rasa kesal dan bersalah. Dapatlah dikurangkan saman dan dibayar segera atau boleh bermalam di penjara tempat kerja lama. Bukan nak labun besar hampir 13 tahun pernah makan tidur dalam tu. Barang yang lepas jangan dikenang..
Berbalik berlabun tentang kancil minyak hijau, ada juga kisahnya di stesen minyak bila dah parking di pam minyak. Ada pulak seorang abang aney ni boleh 'gostan' langgar pulak. Mentang-mentang kancil ni comel boleh buat tak nampak pulak. Nasib baik kancil tak mengalami kecederaan 'serius' cuma tercalar luka je. abang aney ni boleh senyum je 'just say sorry.' So as seorang yang budiman saya 'accept' la senyum tu.
Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan kancil, minyak hijau adalah pilihan terbaik, sebaik harga minyak hijau yang ditetapkan untuk kesejahteraan pengguna. Lalu saya mengisi minyak hijau kedalam tangki kancil tanpa pergi ke kaunter kerana menggunakan kad kredit yang dibantu oleh abang aney petugas pam stesen untuk mengumpul mata ganjaran. Lalu abang aney bertanya "berapa mau isi" dengan ikhlas dan seikhlas juga saya menjawab " sampai itu picu nozel tendang, baru you angkat," dengan bangga...
Siri Sesekali Berlabun
Nada dering berbunyi
Nada dering ni kalau berbunyi maka nak labun, terdengarlah pelbagai ragam bunyi yang kedengaran dari nyanyian lagu penyanyi tersohor sampailah kepada segala benda dan kehidupan yang berbunyi.
Tapi yang penting bukan orang yang mendengar bunyi deringan tersebut tapi tuan punya 'handset' yang rasa sedap teramat sangat mendengar deringan tersebut. Katanya boleh menikam kalbu.
Menikam kalbu la sangat sampai bunyi ayam, lembu, kucing dan hidupan lain sebagai nada dering tapi setidak-tidaknya ada juga 'sense' kasih terhadap binatang yang juga makhluk Allah swt. Yang dilarang sama sekali ikut perangai kebinatangan walaupun binatang ada juga terikut naluri kemanusiaan.
Nada dering ni juga tak semestinya berbunyi ada juga boleh terasa getarnya. Sesetengah orang terlalu peka bila bergetar nada dering tapi 'mostly' ramai yang tak tersedar nada dering berbunyi. Itu yang tak boleh berenggang dengan telefon takut terlepas call penting. Kalau penting sangat pun call tak angkat 'whatsup' aje la. Nanti owner telefon tu call la balik kalau dia mahu. Kena tengok juga siapa call.
Jadi sebab itu lah dalam majlis selalu diperingatkan dengan peringatan " sila matikan telefon bimbit anda atau letakkan dalam 'mode' senyap" selalunya juru acara majlis yang umumkan agar perjalanan majlis tidak terganggu dengan nada dering bunyi binatang tadi sebab majlis tu untuk manusia saja.
Sebab manusia yang datanglah, diberi pilihan nak tutup atau senyap nada dering tu supaya akal fikiran tu dapat digunakan untuk berfikir. Kadang-kadang tok imam pun kena bagitahu kepada makmun supaya senyapkan nada dering. Cuma tok imam tak tambah peringatan tu jadi tiada panggilan penting selain panggilan ilahi. Kalimah tu selalu juga terpandang ditempak strategik masjid. Kalau tak percaya rajin-rajin pergi masjid boleh tengok.
Nada dering sesedap mana menikam kalbu pun ada ketika sedang berbunyi pun saya senyapkan bukannya apa kerana ada panggilan yang tak sewajarnya saya layan.
Asyik nak bagitahu tahniahlah anda bertuah, nombor anda terpilih memenangi hadiah, anda telah terpilih untuk skim ini lah itu lah dan pelbagai. Terlampau banyak bertuah susah jugak tapi orang tua saya semasa saya kecil pernah berkata "anak bertuah" atau "bertuah punya anak" macamana si caller ni boleh tahu pulak cerita lama ni...
Apapun ada juga nada dering berbunyi menikam kalbu tidak saya sahut kerana ada peringatan mesra, tutur bicaranya yang terlalu mesra memberitahu ada beberapa bil anda telah tertunggak. Walaupun tak mengangkat nada dering tu tapi saya tetap menjawab, jawab dalam hati la, "sabarlah cukup bulan." saya jawab ringkas. Marhain kan?