Jumaat, 4 Ogos 2017

Warnasari Nusa

Warnasari Nusa

Jinjang kebahagian terbina
penuh berwarna seri wajah
Laksana muhibbah dalam kalbu
amat bermakna lagi indah pesona.

Rupa paras mungkin ketara dimata
Namun harapan didada pelbagai bangsa
Membina gemilang cemerlang negara
Mengetepi beza angkara sengketa
Kami pewaris bumi sentosa
tunas harmoni yang barcambah nyata.

Tiada apa yang berbeza
Warna kita adalah sama
Usah menjadi mendung hitam
Kerana merah darah tetap tak berubah
Teguh dibawah kerukunan
Berpaksi akan pelembagaan.

Dipundak terpikul amanat digalas
Sejarah tak lena terpadam
perpaduan menjadi gagah
Dengan langkah seiring sekata
Mendepani masa penuh akrab
Kita berbeza tapi serupa.

Bangsa Malaysia teras gemilang
kemakmuran dapat kita nikmat bersama
daulat negara penuh limpah kurnia
menuju wawasan genggam erat terlaksana
bantu membantu senjata kekuatan
benteng bersama pertahan nusa.

Langkah ini semakin dewasa
Berbeza namun  sekata perkasa
Kami tidak lagi goyah melangkah
Maju bersama nusa tercinta
Malaysia kami penuh bermakna.


Ruas Kemerdekaan

RUAS KEMERDEKAAN

Berkumandang kembali laungan keramat
Bergema pada sorak pergertian yang jitu,
Nadi perjuangan semarak, terus membakar.
Bertunjangkan perpaduan tanpa mengira bangsa.

Sepakat  kita demi negara
Tunggul-tunggul perjuangan,
Adalah nisan kemenangan
Berceracak di tugu setia,
Pada setiap sumpah pahlawan,
Yang tak beganjak,
Dari setiap inci laman tercinta.


Setiap titih darah merah pernah tertumpah
Adalah janji kesejahteraan buat kita,
Yang kita kutip dari luka dan jerih payah,
Meniti sejarah membina muafakat
Kerana tiada yang dapat menodai keikhlasan,
Demi tanah air yang tercinta.

Panji-panji perjuangan telah terkibar
Masih tertegak megah di pundak
Dukung yang tak membawa rebah,
Menjadi pewaris wasiat,
Saka perwira yang di perturun
Pada setiap anak bangsa.

Pada laungan keramat yang bergema
Tersirat khazanah suka dan duka,
Untuk kita lupa segala sengketa,
Bersatu hati berpayung dibawah mahkota
Dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung.

Tanpa tongkat sakti untuk menongkah,
Kita tidak bertatih lama untuk berjalan.
Hanya luk tujuh bekal semangat
Menanti terhunus pertahan negara,
Mengajar kita erti keberanian
Pertahan maruah dari tercemar,
Agar duduk kita sama rendah,
Berdiri kita sama tinggi
Dapat mendongak dari meyembah.

Ruas kemerdekaan kita
Adalah dari zaman ke zaman
Genggam yang dipertahankan,
Menghunus daripada tersarung,
Kerana bukan harta yang di wariskan
Tetapi semangat perjuangan
Yang tak pernah padam.


Mercu Akrab

Mercu Akrab

Bergandingan memacu perpaduan
Ketepi segala beza dan sengketa
Menjana matlamat erat berpadu
Kita adalah satu bangsa yang menuju mercu.

Perpaduan mendamaikan kita
Jangan diukur paras dan rupa
Segalanya bukan penghalang
Erat kita membina gemilang
Kitalah pewaris sentosa
Dari sejarah yang tak pernah lena.

Majulah bangsa Malaysia
Kukuhkan segala menjadi satu
Kita bernaung langit yang sama
Berbagai bangsa berdiri sebaris
Teguh bertunjang kerukunan
Bersaksi akan perlembagaan.

Warnalah dengan cara kita
Masa depan mengikut acuan
Terbentuk pada jiwa luhur
Semangat satu Malaysia
Tersemai pada jiwa setiap generasi
Benteng harmoni negara.
Dengan limpah kurnia
Dirgahayu bangsa Malaysia
Dipayungi rahmat sejahtera
Hormat menghormati menjadi setia
Menggengam erat melaksana citra
Gemilang Malaysia rakyat sejahtera.

Kita semakin gagah
Perkasa dimata dunia
Indah pesona penuh bermakna
Bernaung dibumi saksama
Satu Malaysia menjadi mercu tanda.




s

Wajah Kita Serupa

WAJAH KITA SERUPA

Wajah kita serupa
Darah merah adalah sama
Usah biarkan menjadi pekat hitam
Kerana kita adalah pengisi
Rumah harmoni.

Hilangkan segala sengketa
Walau apa warna kulit mu
Kerana kita adalah pewaris
Rumah makmur.

Hulurkan semangat bantu
Cekal satu ikatan
Teguh dibawah kerukunan
Berteduh pelembagaan.

Bertautlah atas rasa kecintaan
Tali persaudaraan kita kukuhkan
Walau apa kepercayaan
Tiada garis pemisah yang menghalang.

Kita adalah bangsa berdaulat
Negara penuh limpa kurnia
Berganding menjana wawasan
Rupa jiwa yang satu
Arah yang dituju
Matlamat yang jitu.

Setiap inci tanahair
Maruah kita bersama
Harus kita pertahankan
Senada dan seirama
Satu bangsa Malaysia.


Membina Taman Di Tugu Harmoni

Membina Taman di Tugu Harmoni

Beriringan menggengam sepakat
Perpaduan membatas segala angkara
Menjalin kerukunan di bawah lembayung
Wadah satu bangsa yang menuju mercu.

Keharmonian menyatukan kita
Warna paras dan rupa berbeza
Batu penghalang tidak terbina
Erat kita mencapai cemerlang
Kitalah pewaris kemakmuran.

Kitalah bangsa Malaysia
Pererat segala menjadi satu
Bernaung di lizuardi yang sama
Bangsa utuh berdiri sebaris
Denyut nadi rentaknya sama.

Coraklah dengan acuan kita
Masa depan menjanjikan sirna
Bersatu pada jiwa luhur
Semangat satu Malaysia
terbina pada jiwa dipupuk
Limpah kurnia menjadi paksi.

Dirgahayu daulat bangsa Malaysia
Dipayungi rahmat sejahtera sentiasa
Hormat menghormati menjadi setia
Menggengam erat melaksana citra
Gemilang Malaysia rakyat sejahtera.

Membina tugu harmoni buat kita semua
Memiliki tanpa wasangka yang mendomba
Taman ini adalah halaman warisan kita
Menghirup abadi melangkah ke mercu jaya.



Bunga Harmoni

Bunga Harmoni

Tersemai sejarah dalam lipatan masa berlalu
Ditabur rukun menyiram benih mekar kuntum bersatu
 warnanya merah menyemai indah dibajai muafakat
Bersatu berpayung ikatan mesra bertunjang padu
Kuntum itu terpupuk dibalik rimbunan mesra
Saling bergoyang ditiup angin namun tetap berseri
Hujannya rahmat menyubur dibumi bertuah
Dipersada nusa indahnya memukau pesona.

Melata tumbuh dipelusuk jiwa warga bertuah
Bunga bangsa ini adala pewaris sejagat wira lara
Peghuni dijiwa bangga menghias nurani negara
Laman taman ufuknya membara semangat mulia
Suntingan jambangan seri mewangi harumnya
Madunya untuk kita nikmati sepakat bersama
Kerana miliknya untuk kita waris tanpa sengketa
Jangan dimusnah indahnya dengan prasangka.

Pohon itu telah bekurun berbunga harmoni
Rimbunnya saujana berteduhkan damai
Kelopak mengharum disanjung seantero dunia
Menjadi nyaman di pancaroba menggoda
Dan pohon bunga harmoni itu buat kita semua
Memiliki tanpa wasangka yang mendomba
Bunga harmoni tanda bangga
subur mekar di halaman warisan kita
Menghirup segar haruman kemakmuran.



Gurindam Jong Merdeka

GURINDAM JONG MERDEKA

Kalau jong merdeka berlayar ketengah sengketa
Dengan muatan penuh cetera.
Pabila layar kembang tidak dicerna
Di labuh sauh merdeka tanpa binasa.

Kalau juragan ke tengah samudera
Tidaklah hanyut tanpa dibela.
Jika petualang ganas jadi hampa
Dengan muafakat terasa menyeksa.

Apabila benua direntas tanpa sanggah
Kepada raja daaulatnya sembah.
Jika haluan teguh mudah diarah
Kerana rakyat patuh bermaruah.

Pabila ombak diharung tak mudah sekah
Dengan iman bekal tak mudah ratah.
Jika sejarah padanya ada terjajah
Diguna akal tanpa sumpah seranah,

Jika badai gelombang pasti mendatang
Dengan iktibar boleh ditatang.
Apabila jalan merentas lautan
Dijunjung titah mengemudi harapan.

Jika satu hati, arah dan wadah
Sekali terngadah buruknya padah.
Bila tindakan pintunya musyawarah
Dilaut luas tak usah gundah.

Kalau jong sarat jangan digusar
Dengan ikatan setia haruslah tegar.
Bila merdeka penuh bermakna
di kubu daratan penuh bermaya.

Pabila bekalan diatur sebelum berlayar
Maka penat dan lelah pasti berbayar.
Bagaikan lilin membakar diri
Di lorong harapan mudah mudiki.

Dengan bulan bintang jugalah awan
Diruang sepakat beroleh pelabuhan.
Bila haluan tidak tersasar
Benih ditanam dapat menjalar.

Jika tak lapuk hujan dek lekang panas
Ditabur jasa dikenang ikhlas.
Dengan pesanan jadi pedoman
Terasa selamat pastinya aman.

Apabila jong merdeka meluncur laju
Dituju matlamat menjadi satu.
Apabila lebar panji keamanan
Dijadi contoh tanah halaman.