Ahad, 12 Mei 2019

Siri Sesekali Berlabun
Abang Aney Barang Lusuh
Pagi-pagi lagi lori abang aney barang lusuh bersama rakaman laungan barang lusuh yang mahu dibeli, mengelilingi kawasan perumahan saya. Mencari rezeki membeli barang-barang lusuh, tapi bukan semua barang lusuh ada 'value' harga yang mahu dibeli oleh abang aney. Maka yang tak ada market value jadi sisa pepejal aja la tunggu abang kebersihan datang kutip di hadapan rumah pula.
Deruman lori usang abang aney dan asap lori yang berkepul-kepul memang 'icon' barang lusuh juga, saya ada bagitau abang aney "abang aney! awak punya lori pun sudah lusuh, tak mau jual ka?" maklum saya pada abang aney ketika betul-betul berhenti di depan rumah saya. Balas abang aney "ini cari makan punya lori, mana boleh jual". "ada orang mau beli ka abang aney?",tanya saya lagi. "Dey! nanti saya sendiri beli saya punya lori la," tawa kecil abang aney.
Mungkin rezeki Ramadan abang aney juga dapat tempias rezeki berganda. Time cuti ramai yang berkemas rumah untuk menyambut Syawal. Ketika mengemas rumah bulan Ramadan ni baru ditemui banyak pula barang lusuh yang ditemui. Maklumlah kesibukan bekerja mana ada masa nak sisih benda tu semua.
Tapi tu la kalau diikut nafsu banyak barang akan dikira lusuh dek godaan 'sale' raya dengan tawaran harga mampu beli sebab nak raya kan? tambahan pula macam dapat rasa ada nak dapat bantuan hari raya dari gomen yang prihatin hal rakyat.Jadi kemeriahan menyambut hari raya dalam pemikiran kita mesti ada yang baharu. Paling tidak mesti ada baju raya kan?
Cuma lagu raya baharu sahaja yang tak dapat 'evergreen' kenangan indah kita, betul tak? lama mana pun lagu raya tu, masih mendapat tempat di hati dari senikata sampailah iringan muzik. Ada 'sentimental value' di hati kita.
Abang aney masih terpacak di halaman rumah saya menantikan apa habuan yang dapat dibelinya. " surat khabar lama tak ada la abang aney saya sudah lama tak beli," labun saya pada abang aney. " itu news ka apa ka dengan jari juga saya kasi baca," tambah saya lagi, sengeh abang aney seakan mengerti.
Botol-botol plastik banyak la sebab sekarang bila mandi tak pakai sabun dah, pakai losyen mandian dengan terapi haruman yang menyegarkan. Siap campur susu kambing lagi. Abang aney kata botol plastik tu pun boleh dia ambil ada harga katanya.
Barangan elektrik lama pun abang aney terima seadanya dengan harga yang terlalu nipis. Maka ada sebuah mesin basuh lama yang telah rosak yang saya baiki pun perlu kos yang tinggi. Kebetulan lori usang abang aney pun sedia menanti. Di atas lori abang aney lah tempatnya dan tanpa timbangan abang aney beri saya rm 5 sebagai balasan.
Lalu saya masukkan rm 5 ke dalam sampul hari raya yang baru yang saya perolehi ketika membeli barangan dapur di sebuah pasaraya. Abang aney membeli barang lusuh dengan lori usangnya sentiasa ditemani anaknya yang meningkat remaja membantu.
Saya pun menyerahkan sampul hari raya kepada anak abang aney, dia menerima dan bersalam "terima kasih uncle, selamat hari raya," ucapnya walaupun baharu masuk hari ke enam berpuasa dan berlalu pergi bersama deruman usang lori abang aney barang lusuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan