Jumaat, 10 Mei 2019

Siri Sesekali Berlabun
Masak
Kali ni nak berlabun tentang masak sempena bulan Ramadan al-Mubarak. Maka tercari-cari lah di hujung jari segala pautan yang terdapat dalam dunia maya akan hal menu untuk masak memasak. Tak cukup sehari sebulan punya menu telah dibindingkan untuk dijadikan rujukan. Bermula dari menu berbuka sampailah bersahur. Itulah cita-cita tinggi sebelum memasuki bulan Ramadan dan berpusu-pusu yang berkerjaya memohon pulang awal dengan alasan hendak masak. Tetapi kita hanya mampu merancang, bazar Ramadan juga yang disinggah mencari menu yang telah dimasak. Senang, nanti balik hidang je untuk berbuka.
Cita-cita nak masak sepanjang bulan Ramadan ni bukanlah tak tertunai, tetapi maklumlah berkerjaya kesuntukan masa dan tugas hakiki di rumah yang memaksa untuk tidak memegang senduk dan periuk. Macam-macam nak diuruskan dari hal rumahtangga sampailah urusan anak-anak sebab para isteri ni tak nak ganggu suami. Para suami pasti sibuk nak bersiap-sedia fizikal dan mental untuk bersolat sunat terawih nanti.
Mungkin cuti adalah masa sesuai nak masak, kalau gamitan berkunjung membeli belah tidak menjelma. Tapi masa cuti ni la peluang nak bawa anak-anak membeli baju raya dan peralatan hari raya. Kalau lambat ‘masak la’ berasak-asak beramai-ramai memakmurkan pasaraya dan tempat membeli belah berkaitan hari raya. Senang buat persediaan awal nanti tak lah ‘masak sangat’ berkemas untuk pulang ke kampung untuk berhari-raya.
Di samping itu sibuk nak berurus-niaga lagi dengan segala tempahan untuk kuih hari raya yang bakal menjadi pilihan untuk ditempah. Aneka rasa dan aneka nama segala jenis kuih raya juga dihujung telunjuk jari anda. ‘Just tunjuk’saja berbalang kuih raya boleh menjadi milik anda. Belum kira tempahan dari rakan-rakan sekerja, handai taulan dan sanak saudara yang berkecimpung dalam dunia pembuatan kuih raya sempena menyambut Syawal nanti. Menu kuih raya dengan harga kasih sayang yang di masak oleh orang lain cuma perlu bayar je walau berdondon-dondon dah menonton rancangan masakan kategori masak kuih hari raya.
Bila disebut rancangan masakan maka disajikan lah rancangan-rancangan televisyen, jika kita berkesempatan menonton, penuhlah rancangan masak ni dari tukang masak yang dah tentu kerjayanya masak-memasak hingga ke selebriti yang muda dan tua yang nampaknya rajin menjengah dapur. Jadi sepanjang Ramadan ni banyak lah kita dihidangkan dengan rancangan masak ni dengan tajuk-tajuk yang menarik dan tetamu undangan yang disukai ramai. Selalunya menu rancangan masakan untuk berbuka puasa setaraf ‘buffet’ yang ditawarkan sepanjang bulan Ramadan. Golongan suka berbuka di luar pasti lebih arif di mana tempat yang menawarkan menu dan harga terbaik. Bukannya apa berbuka di luar dapatlah ‘iftar’ bersama rakan atau ‘gathering’ keluarga merupakan alasan kukuh.
Selain masak-memasak, minyak masak pun ada dua darjat antara minyak masak yang di botolkan dengan harga yang tak disubsidikan. Maka diberi pilihan samada nak menggunakan minyak masak yang tinggi darjatnya atau minyak masak yang dibungkus dengan harga subsidi. Apa pun darjatnya kita tetap menggunakan minyak masak dalam kehidupan kita terutama acara masak memasak. “Bang! Gas masak dah habis,” tetiba ada suara dari dapur, so sampai di sini dulu, sebab ada seruan yang kena saya uruskan atau ‘another choice’ kenalah bawa ‘iftar’ kat luar. Baru betul-betul ‘masak’…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan