Ahad, 5 Mei 2019

Siri Sesekali Berlabun
'Mantai'
Kali ni nak berlabun mengenai 'mantai', bagi yang dah tahu istilah tersebut tentu arif dan faham sangat terutama yang berasal dari Negeri Sembilan. Saya yang dah lama pakai alamat Negeri Sembilan pastinya juga mengetahui istilah 'mantai' ni apatah lagi 'my lovely wife' berasal dari Negeri Sembilan. Mahu terharu habis orang ghumah den terbaca ayat ni.
Jadi asimilasi pembudayaan setempat telah berlaku dalam diri saya menyerap dalam situasi dan suasana ibarat 'masuk kandang kambing mengembek masuk kandang kobau menguak',' lain padang lain belalang' memahami budaya setempat. Berasal dari negeri 'yob' ke negeri 'jang' kalau bergabung jadi 'Jang Yob' pulak macam nama Korea walaupun saya berkulit gelap memiliki ciri-ciri lelaki Melayu sejati.
Tapi orang ghumah den bagitahu ghoman (iras-iras) baiya hindustan adalah, sebab tu dia kata tak minat cerita hindustan sebab hero hindustan dah ada dalam ghumah tapi "hidung aja la" beritahunya selamba.
Kembali berlabun tentang 'mantai' ni bukan sahaja kemeriahan menyambut tibanya bulan Ramadan berkunjung ke pasar sehari membeli daging sekilo rm 34 dan lemang yang telah tersedia jual. Sayur-sayur kampung yang turut ditemui bersama daging salai dan yang lainnya yang akan dimasak mengikut menu Negeri Sembilan seperti suasana menyambut hari-raya.
Kemeriahan mantai sebenarnya menunjukkan rasa gembira dapat bertemu kembali bulan Ramadan. Anak muda yang bekerja di luar akan berpusu-pusu balik menyambut puasa bersama ibu-bapa di kampung. Ibu-bapa akan sibuk mencari buluh lemang untuk membakar lemang menanti kepulangan anak menantu.
Masakan wajib seperti rendang maman ayam, itik atau daging dan sambal tempoyak daun kayu.Di tambah masakan lemak cili api daging salai dan seumpamanya adalah menu wajib sehingga bersahur nanti. Satu ketika dulu difahamkan dibawa juga semasa berteraweh nanti dan dimakan bersama-sama.
Jadi kemeriahan mantai ini bukan sahaja bertumpu kepada jualan dan makanan sahaja sebaliknya suasana kegembiraan untuk melaksanakan ibadat di bulan pahalanya yang berganda. Selain merapatkan ukhwah dan sailaturahim generasi muda dan tua selari dengan Negeri Sembilan negeri beradat.
Jadi saya yang dah yatim piatu walaupun dah berumur insyaAllah turut merai kan mantai di kampung orang ghumah dengan penuh rasa kegembiraan bersama ibu dan ayah mertua yang menanti...
Selamat Berpuasa Di Bulan Ramadan al kareem.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan