Selasa, 24 Mac 2015

Seloka Telefon Bimbit



SELOKA TELEFON BIMBIT

 Tak kira tua mau pun muda
Berbagai warna jua pun rupa
Kemana pergi bawa bersama
Nada berbunyi penuhlah bangga.

Tersisip di pinggang juga di kocek
Bukanlah lagi bendanya pelik
Walau ianya asyik dibelek
Rupanya mesej dengan si awek.

Banyak guna mestilah bayar
Walau ianya boleh bergetar
Guna juga diambil gambar
Silap gaya segala tersebar.

Elok diguna penuh manfaat
Supaya tak datang mudarat
Hubungi jauh juga yang dekat
Sailaturahim dapat dierat.

Yang bercinta barang utama
Baru dapat meluah rasa
Lidah kelu mudah bicara
Tiada berbalas terasa siksa.

Aduhai makcik dan juga pakcik
Ada yang besar maupun kecik
Jari ditekan semakin lentik
Semakin hari semakin asyik.

Ada juga boleh dirakam
Silap letak ada yang terkam
Cara diguna banyaklah ragam
Jadi teman siang dan malam.

Jangan sekali dibuat lupa
Apa yang patut padam segera
Ada terjadi kecoh rumahtangga
Mesej diterima jadi tandatanya.

Kalau memandu penuh berhati
Tambah resah sedang berbunyi
Usah fikir diri sendiri
Orang lain pun mampu nak beli.

Ada baik jugalah buruk
Memudah kita sangatlah elok
Segalanya cepat mudah dirujuk
Sambil berdiri jugalah duduk.

Zaman sekarang ianya penting
Tambahan pula saat genting
Terlebih guna ada yang pening
Hal lain tak ambil pusing.

Walau apa segala dikata
Cakap dimulut letak ditelinga
ikut empunya cara nak guna
tepuklah dada tanya selera.

Perisian mula bertambah canggih
Ada group wasap kita tersengih
Dapat berita  berita perlu disahih
Kalau terluka tentunya pedih

Kita sekarang semakin celik
Tak lepas peluang asyik dikelek
Aksesori hias cantik bersolek
Mata terbontang sambil mencebik

Terdapat aplikasi telah diprogram
Itu yang buat bertambah geram
Jangan terlupa sentiasa mengenggam
Termasuklah juga aksi melaram.

Ini seloka sebahagian ku karang
Agar pelajarku bertambah terang
Kursus diajar menjadi riang
Mendapat markah menjadi senang.

 Badrul 
Adunmasblogspot

Tanjong Cinta



Tanjong Cinta

Tanjong ini adalah untuk pecinta
yang melakar cinta pada nusa
membenihkan kuntum harapan
ditabur menjadi permata.

Sejarah cinta ini panjang
mekar mengharum wangiannya
tumbuh bersama tunas khidmat
melata di bumi subur
Tanjong Cinta.

Segala yang telah abadi berabad
berkembang jasa membina pujangga
bermadah dalam slogan bernyawa
mencorak warna putih menjadi bunga
yang dipuja di atas gemala.

Tanjong Cinta ini menyimpan segala
tentang segala kisah penghuni
yang datang dan pergi
yang ada matlamat tersendiri
yang datang membawa cita dan harapan
yang datang menabur cinta
pada perdu pohon keilmuan.

Sesekali mereka hadir kembali
kepada Tanjong Cinta yang ditinggalkan
mengungkap pepohon nostalgia
di dasar bumi Tanjong Cinta
yang menyaksi dan menjadi saksi
pada bayu tertiup lembut
menitip kemesraan yang pernah datang
yang tak putus menerima pecinta
silih yang berganti memberi harapan
menjanjikan bauan impian jadi nyata.

Redupnya bumi Tanjong Cinta
dipayungi rahmat sentiasa
yang tak dapat di pisah kisah cintanya
tentang gedung pendidikan
sejarah penubuhan dan pengembangan
 yang gahnya kian serata.

Tanjong Malim adalah Tanjong Cinta
yang melahirkan murabi
buat pecinta ilmu.

Badrul
Adunmasblogspot

Sesekali Batuk Memanjang



Sesekali Batuk Memanjang

Sekian lama batuk berkumandang
berdekoh-dekoh memecah hening
perit terguris lendir pekat
mewarna ruang warna kerongkong
memagar sabar bisa bertahan
sesak dada menahan nafas.

Segala petua tercuba
sumbangan sahabat dan taulan
memecah buntu bertakhta
tiada juga nampak reda
sayupnya makin memanjang
mematah ikhtiar dan usaha.

Musim yang tiada tertanggung
ramai juga yang menanggung
ada kalanya bagai bermusim
mengiramakan senandung
harusnya segera dibendung.

Lalu mencari akan penawarnya
klinik satu ringgit yang teragung
biayanya murah mungkin beruntung
sebotol ubat telah terlangsung
moga mereda dekoh makin bersambung.

Mana bisa ikhtiar terhenti
mengadu pula pada farmasi
senyum melebar lebih berseri
biayanya lebih tentulah pasti
katanya ubat ini amat gerenti
dipesan pula berkali-kali
kurangnya sembuh datanglah lagi.

Batuk ini semakin memanjang kasar
harmoninya makin tiada bernada
antara
yang diberi cair kandungannya
dan yang cantik bungkusnya
menjadi teman di semusim ini.

Entah apa bezanya
batuk di sini dan disana
memanjangnya tetap serupa
tetapi penawarnya tidak sama
dalam berkira-kira
kutemui jawapannya
penyakit itu menghapus dosa
setidak-tidaknya dekohnya kian reda
dan hati makin lega
kerana ujian dugaan itu
aku makin pasrah
pada-Nya.

Badrul
Adunmasblogspot

Cerita Bulan



Cerita Bulan

Cerita bulan ini
 seperti bulan-bulan terdahulu
hingga ke penghujung bulan
menanti saat berisi
melunasi segala yang diberi.

Cerita bulan ini
segala yang harus dilunasi
adalah sebuah harga
dalam sketsa kehidupan
tentang tunas keperluan dan
putik tanggungan hakiki
yang sering bercambah
memekar bunga keselesaan.

Cerita bulan ini
menguntum pelbagai kisah
tentang anak sekolah
tentang ingatan mesra bank
tentang khabar di  kampung
tentang harga barangan
dalam sebungkus air teh
yang bertambah nilainya
dan sebungkus nasi lemak
yang singkat daun pisangnya.

Cerita bulan ini
 tentang notis pemotongan air
dicabut meter ketika tuannya bekerja
tentang notis tak cukup 14 hari
tentang upah sambungan rm 25
tanpa dikira lunak bicara
tentang notis pemotongan letrik
yang menggelapkan kelam malam
dan melupakan kejam
tentang tangis bayi kegelapan.

Cerita bulan ini
kisarnya tentang biaya
kisarnya tentang tabungan
yang janjinya berganti
pada saat yang dinanti
tanpa ditemui hari
untuk mengota janji
untuk dicari ganti kemanusiaan
pada yang pandai menjaja kesejahteraan.

Cerita bulan ini
adalah cerminan diri
membanting keringat
untuk suapan menanti
melalui hari-hari begini
menganyam hemah
pada realiti ukur diri
pada gigih kemampuan
tersangkut dipohon kehendak.

Dikala memandang langit malam
bulan masih berseri dengan cahaya
menatap segala yang terus menanti
seperti bulan ini.

Badrul 
Adunmasblogspot

Di kala ini



Di kala ini.
Dikatakan kemakmuran itu
melimpah ruah
sedang barisan
 kepimpinan terpilih
merasai  denyut nadi
marhain katanya
di kala kami mengharap
bantuan ditabur
dengan janji dan harap.

Lalu di kala ini
terasa makmur itu
ketika ku suap
makanan itu
dengan sudu dan garpu
di majlis perkahwinan
yang tiada lagi ku temui
bunga telur
yang harga telurnya
 turut meningkat
dikala telur dan bunga
tidak lagi melambang
kemakmuran zaman.

Di kala ini
menyalut kemewahan itu
adalah kemakmuran
yang sedang dikecapi
sedangkan ingatan
mesra bank pasti menanti.

Di kala penggal
 persekolahan bermula
kemakmuran itu menipis
di gedung yang simpati
katanya yang cukup mengerti
denyut nadi itu dirasai
dikala kepimpinan menangani tugas
jasa marhain katanya dihargai
yang menjana negara makmur
yang kemakmuran itu
adalah senyum pemilik gedung
mengisi perbendaharaan negara
kononnya.

Maka itulah kemakmuran
pada perit dan sengsara
sepasang pakaian sekolah
dan sepatu putih
dengan nilai jerih
kudrat insan.

Di kala ini
sebalik riak kemakmuran
sejahtera itu pudar
pada keping not harga
yang meringgitkan
maruah manusia
di kala
aku hanya mampu
bersujud pada –Mu.

Badrul
Adunmasblogspot