Selasa, 24 Mac 2015

Maafkan aku Kuala Pilah



Maafkan aku Kuala Pilah

Tanggal Hijrah kali ini
maafkan aku Kuala Pilah
yang mendewasakan perantau
 memahat hidup di dada
menyemai bakti di batas
membalut luka kehidupan
pada pintu mukim mu.

Lambaian ini tangisan
tertitip bicara diam
kerana kelam dan suram
mengatur sesak jalan mu
ku lihat berpanjangan.

Maafkan aku Kuala Pilah
dalam hemah dan tamah
kau ku tinggalkan
bersama taulan dan rakan
menjati akrab bertunjang
menjalur budi sepakat
di kala meriah dan duka.

Sepanjang terhenti  berdiri
segalanya menyaksi
kau masih menyepi
dibalik tirai janji
tertabur di pintu kemenangan
yang tak dapat dinikmati.

Maafkan aku Kuala Pilah
kerana aku hanya
mampu memerhati seketika 
dipersinggahan ini
kerana bicara tulus
memberi aku erti
akan cinta sejati
mula berputik disini
dan aku pula
terpaksa pergi
menemukan persinggahan abadi.

Maafkan aku Kuala Pilah
aku datang dan aku pergi
ketika ada calar di dada.

Badrul
Adunmasblogspot

Tiada ulasan:

Catat Ulasan