Selasa, 24 Mac 2015

Jiran Rumah Baru



Jiran Rumah Baru
Sapaan pertama itu kemesraan
dalam tulus ikhlas
membina persekitaran baru
dan ukhwah kesejahteraan
berbicara pengikat sailutulrahim
berkenal tanda muhibbah
yang keterasingannya kita singkir.

Rumah baru itu berseri
warna keceriaan yang berwarna
dalam ramah yang indah
kita senyum tanda sepakat
jiran yang membawa berkat.

Jiran yang bersilang sebuah rumah
terlebih dahulu mengetuai pindah
deretan rumah baru tersergam
dan kerana itu
jiran ini bagai kemudi
mengetuai jiran baru
dan usia yang lebih matang
memantapkan anugerah ketua.

Tempoh singkat menyapa mesra
bagaikan lama telah berkenal
dalam nada tegur dan gurau
menyimpul simpul bila bersua.

Hari ini aku datang ke rumah baru
rumah jiranku suram
hilang warna kemeriahan
seperti mana berpindah dulu
dalam warna meriah dan senyum.

Julai 2014 – Oktober 2014
Tempoh empat bulan adalah perkenalan
Tempoh empat bulan adalah kemesraan
Tempoh empat bulan adalan keakraban
Tempoh empat bulan adalah persaudaraan.

Sekujur tubuh di perbaringan rumah baru
menyelimuti tubuh itu
tubuh yang sama kita berbicara
tentang kisah rumah baru
tentang menjaga kesihatan
tentang pengalaman hidup
tentang halaman terakhir.

Hari ini air mata ku menitis
dalam tempoh singkat ini
kau berpindah lagi
ke rumah baru
dalam perjalanan menuju abadi
Inalillah....

Badrul

1 ulasan:

  1. Penulis mengambarkan bahawa kehidupan yang penuh ceria dan kegembiraan apabila berpindah ke rumah baru. Tetapi ianya hilang dan datang kegelapan serta kesuraman kerana terpaksa berpindah lagi. M.arif 230927

    BalasPadam