Sabtu, 19 Februari 2011

TEROMBA MUAFAKAT BUDI



Gobek cantik gobek cik puan
Sirih dikunyah menjadi sepah
Tabik encik tabiklah tuan
Kami datang membawa sembah.
Lebah bukan sebarang lebah
Lebah dari Tanjong Ipoh
Sembah bukan sebarang sembah
Sembah menyusun jari sepuluh.

Tatkala kata mula bicara
Pabila madah mula mencelah
Menyisip rasa janganlah gundah
Kebukit samalah kita daki
Kelurah samalah kita turuni
Hatinya gajah sama dilapah
Hatinya kuman sama dicicah
Ada sama rasa
Sikit sama banyak
Bekerja sama berhenti
Letih sama duduk
Kok sikit tak untuk orang
Kok banyak tak berbagi
Kok berhenti tak dileter
Kok bekerja tak disuruh
Kok membuat tak meniru
Bertuan di mata beraja dihati.

Diingatnya juga pada kita
Bagaikan aur dengan tebing
Bagaikan isi dengan kuku
Sederap jalan bersama
Berjalan sama seiring
Bernyanyi sama senada
Memberat sama dipikul
Meringan sama dijinjing
Setinggi-tinggi terbang bangau
Akhirnya hinggap kebelakang kerbau.

Air dicincang tak kan putus
Bagai menepuk air didulang
Pegang tangan tanda muafakat
Pegang janji tanda sejati
Pegang hati indahnya budi.

Bunga melati bunga didarat
Bunga seroja ditepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi
Hidup di kandung adat
Mati dikandung tanah
Adat dipakai baru
Kain dipakai usang
Mencari kata sepakat
Seikat seperti sirih
Serumpun seperti serai
Seciap seperti ayam
Sedencing seperti besi
Masuk kandang kerbau menguak
Masuk kandang kambing mengembek.

Bercakap siang pandang-pandang
Bercakap malam dengar-dengar
Nak tahu jahat orang tanyakan seterunya
Nak tahu baik orang tanyakan sahabatnya
Harimau mati tinggalkan belang
Gajah mati tinggalkan tulangnya
Manusia mati tinggalkan namanya
Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia dek muafakat
Hujan emas negeri orang
Hujan batu negeri sendiri.

Pisang emas dibayar belayar
Masak sebiji diatas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati
Pulau pandan jauh ketengah
Dibalik pulau angsa dua
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan