Jumaat, 18 Februari 2011

PETALA DI GEMALA


Merafak menjunjung taat kasih penuh setia
Kembang seroja mengharum di telapak hati
Mewangi pertiwi semerbak kasih sejati
Kembangnya kemudi di sanubari.

Negaraku gagah amat tercinta
Pelbagai arena bangsa berbilang budaya
Bersatu bersama beriringan menggerak rasa
Membina megah negara penuh sekata.

Satu kita kehendak untuk semua
Sama rasa menjinjing sama di cita
Kukuh perpaduan adalah benteng negara
Menjadi sebutan ikutan pelusok dunia.

Mari kita warnakan semua bersama
Corak indah pelangi kita melakar
Tenteram sejagat amanah milik kita
Tunas pewaris di bimbing tegak terlaksana.

Tanahair ini bertunjangkan tuah pusaka
Sinarnya adalah obor warga yang membara
Mengucap kalimat bergalang nyawa
Paksi kerukunan kehidupan sejahtera.

Lembayung rahmat dibawah seri paduka
Gerhayu daulat sumpah keramat berzaman
Satu suara  berpadu menjadi tangkal azimat
Mengukir kejayaan milik kita untuk semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan