Jumaat, 25 Februari 2011

KATA DUA PADA SATU


“Kehidupan tidak dapat lari dari angka, segalanya bermula dari angka,” itulah kata mula bicara angka pada dua. Dua yang bersahaja menggeleng mesra seakan mengerti tutur bicara Satu dengan seribu pertanyaan yang bermain di minda. “bukankah permulaan mengira sepatutnya dari kosong,” desis Dua bagai memula sengketa lagaknya. “kosong!” Satu mula meninggi suara, “ia!” Dua menyelit bicara. “Kosong juga penuh bermakna, kerana jumlahnya akan menuju juta dan tak terkira akhirnya,” Dua menambah dengan penuh rasa bangga.
            “Bukankah keunggulan dan keutamaan itu pada yang satu kerana ramai yang inginkannya, contohnya menjadi juara mestilah tempat pertama dan pertama itu adalah satu,” riak dan bangganya Satu mempertahankan. Tetapi sifat kejadian mestilah dua karana semuanya harus berpasang-pasangan, dan dikatakan berpasangan itu haruslah dua.
Barang harus di ingat selalunya matlamat yang di tuju adalah satu, kerana lebih dari satu hala tuju tak mungkin mencapai matlamat yang satu.
            Menjadi ketua haruslah satu, mana bisa mungkin ketua ada dua maka porak peranda lah jadinya, masing-masing hendak mengikut cara dan gaya. Kapal pun boleh tenggelam kalau ada dua nakhoda. Namun dua jua adalah pelengkap menuju kejayaan, menuju kejayaan tidak boleh dilakukan berseorangan dalam apa jua bidang. Kalau belajar mesti ada gurunya, kalau berlatih mesti ada juru latihnya tidakkah itu memerlukan dua. Kedua-duanya amat diperlukan.
            “Pelengkap hidup mesti ada dua, iaitu suami dan isteri, tentu agak sukar jika tinggal satu atau tunggal,” Dua mempertahankan hujahnya. “tapi, satu juga tidak akan, menjadikan kehidupan itu pincang,” celah Satu. Kehidupan terencana dengan adanya dua yang sama-sama merencanakan perjalanan seterusnya. Permuafakatan mesti menjadi satu barulah boleh bekerjasama asas keharmonian dan kerukunan. Satu cita rasa, satu fahaman, satu arah supaya aman damai dan tidak bertelingkah.
            Bukankah pilihan itu memerlukan dua, barulah dapat membuat pilihan, jika tiada pilihan bukanlah kesempurnaan namanya. Manusia harus diberi pilihan bukan dengan kata muktamad yang satu. “Kalau dibilang, mestilah menunjuk satu dahulu,” pintas Satu sebelum Dua, panjang meneruskan bicara.
            Satu harus jadi pilihan, kerana satu kita dapat bersatu padu, kesepaduan kata sepakat perlu menjadi satu kerukunan yang harus diikuti, kerana dua tidak mungkin berdiri tanpa kekuatan dari satu. Satu-satunya pilihan mestilah ada yang satu dan dikuti dua sebagai pilihan. Itu tandanya kedua berada di tempat yang kedua dan seharusnya satu berada di tempat pertama.
            Satu dengan bangga mempertahankan kedudukannya dari terus diasak oleh Dua. Tetapi dua dihormati kerana kata dua menjadikan tiada pilihan untuk diikuti, semacam arahan yang tak dapat diubah amaran yang tak dapat disanggah, kata putus yang harus diambil.
            “Tempat kedua juga harus diambil kira,” Dua mula menunjukkan belangnya, kerana pengiraan dan kedudukan juga diambil kira. Tidak mengambil kira kedudukkan tempat kedua amat sukar nanti menentukan juara seterusnya.
            Juara bersama pada tempat pertama dan kedua juga boleh berlaku, ini menunjukkan satu tidak dimonopoli oleh satu sahaja. Angka dua juga boleh berada pada kedudukkan yang satu apabila bersama mendapat tempat pertama.
Dipandang dari sudut nilai dalam sukan sinonimnya tempat pertama atau satu adalah emas manakala tempat kedua adalah perak, ini sudah tentu emas lebih bernilai dari perak. “itu dari sudut nilai,” bantah Dua, tapi dalam kebanyakan hal angka dua memberi kelebihan dari sudut nilai angka itu sendiri. “Mana lebih banyak satu atau dua” pertanyaan Dua pada Satu yang semakin lantang berhujan memberi penilaian.
            Banyak mana pun penilaian dibuat, dua dianggap penting dalam hidup, bukankah ibu dan bapa amat penting dan perlu dihormati kedua-duanya. Salah satunya menghormati ibu lebih penting bertepatan syariat agama, jadi kembali juga kepada satu tentang perihal pentingnya satu.
            “Ibu lebih utama,” pintas satu dalam terus berbicara, jadi walau kedua-duanya penting keutamaan tetap pada yang satu pada ibu. “tidak begitu, Dua,” pertanyaan yang dikembalikan pada Dua.
            “Tapi, tanpa kedua-duanya juga tak memberi erti,” tambah Dua lagi. Lihat sahaja tanpa kedua-dua mereka banyak perkara yang akan berlaku dalam kehidupan. Kepayahan anak-anak tanpa kedua ibubapa atau kehilangan salah seorang, ini tentu memeritkan.
            Satu-satunya jalan penyelesaian, tentulah dengan adanya kedua-duanya bukan salah satu. “Sehati sejiwa juga kan menjadi satu pabila berikrar sehidup semati, itulah jalinan kesepaduan hidup dua hati,” bicara Satu lagi. Kesepaduan itu yang membawa satu, meneruskan perjalanan kehidupan.
            “Segalanya mesti bermula dengan dua juga,” jelas dua mempertahankan hujahnya tanpa dua hati berpadu, mustahil menjadi satu pada janji yang di lafazkan samada berkekalan atau tidak atas kehendak Tuhan yang satu.
            “Tentu ada hikmah manusia di jadikan berpasang-pasangan melayari kehidupan,” spontan Dua menutur bicara. Saling pelengkap mesti ada dua baru dapat melengkap satu sama lain. Sifat perlu memerlukan perlu ada jalinan dua untuk mengukuhkan.
            “Kesetiaan harus pada yang satu,” satu memperkuatkan hujahnya yang mula tenggelam dalam omelan dua yang semakin bersungguh dalam kata-kata. Kesetiaan harus wujud pada yang satu tidak pada yang dua, menguji keikhlasan kesetiaan. Kesetiaan tidak harus diikuti membuta tuli seandai membawa kepada kehancuran. Ukuran kesetian tidak terletak pada satu kerana bentuk kesetiaan akan teruji dengan pilihan. Bila ada pilihan wujud elemen dua dalam mempertahankan kesetiaan.
            “Adakah kehidupan menarik tanpa pilihan,” dua mula bersungguh menerus bicara pada satu dengan keegoan yang mencengkam. Hitam putih kehidupan adalah warna sebenar yang mewarnai kehidupan, untuk warna-warni kehidupan pilihan mesti wujud untuk mewarnainya dan pilihan warna-warni itu melebihi dua warna, menolak keegoan satu, mentafsir keunggulan dalam angka satu.
            “Menghitung masa mesti melalui satu,” kata satu merujuk waktu yang berlalu dan mendatang. “kekadang kita diberi pilihan kedua untuk membina kehidupan,” Dua mula bersuara angkuh. Namun ada juga yang tidak di beri peluang kedua menunjukkan peluang yang satu itu harus direbut dan tidak dipersiakan.
            “Kekadang peluang hanya datang sekali saja yakni satu,” tambah Satu melebar bicara pada Dua. Itulah yang harus direbut tanpa menunngu peluang kedua kerana kemungkinan tiada lagi peluang kedua yang diberikan.
            Mendapat tempat kedua tidak bererti tewas mungkin nasib tidak menyebelahi, kerana mungkin kali kedua akan mendapat tempat pertama pada ketika yang lain. Berada di tempat bernombor satu tidak semestinya berada dipuncak selama-lamanya kerana tiba masa dan ketika pasti tempat kedua akan beroleh tempat pertama juga. Segala kemungkinan boleh terjadi bila peluang untuk tempat kedua terbuka luas.
            “Tiba masa dan ketika tempat kedua juga boleh menjuarai,” Dua terus-terusan memperkuatkan hujah, kerana putaran kehidupan sebelum kepenghujungnya sentiasa berkemungkinan untuk terjadi.
            Sayang- menyayangi perlu melibatkan dua insan walau cinta pada-Nya kan kekal abadi. Dua jiwa akan disatukan agar menjadi kukuh, ikatan dalam menghadapi cabaran mendatang menjadi satu hati melayari bahtera kehidupan. Senada seirama adalah alunan irama yang menjadi kesatuan elemen menarik pabila dialunkan.
            Satu suara adalah kehendak menepati suatu pengukuhan dalam keharmonian bermasyarakat. “Berdua-duaan, adalah ditegah kepada pasangan, sebagai tuntutan agama, tanpa ada ikatan yang sah,” perjelas Satu lagi. Bukankah dua itu melambangkan perbuatan yang negatif. Andai dinilai dari segi sudut negatif  positif satu juga apa kurangnya, kehidupan bersendiri tanpa bercampur gaul dan mementingkan diri sendiri sahaja bukankah juga menunjukkan satu memberi gambaran yang kurang enak.
            Kesorangan juga menunjukkan satu yang tidak melibatkan orang lain, boleh menyebabkan diri menyendiri. Ini amat merbahaya kerana menyendiri tanpa teman dan meluahkan perasaan menjadikan diri individu itu sunyi dan sepi dan boleh melakukan sebarang tindakan di luar kewarasan. “Kan bahaya Satu tu..” Dua mula memperkuatkan hujah yang sering di patahkan oleh Satu.
            Bermuhasabah kedalam diri perlu dalam keadaan bersendiri, jelas bersendiri merujuk kepada keseorangan atau Satu. Sudut pandangan memerlukan lebih dari satu supaya idea tersebut dapat di satukan atau direalisasi.
            “Satu! Satu! Satu! dalam soal pembelajaran mesti mengikut darjah satu dahulu untuk melangkah ke darjah dua,” Satu terus bertegas, segala sistem persekolahan mesti bermula dari darjah satu sehinggalah ke tingkatan Satu. Proses yang dilalui mestilah bermula dari darjah Satu meningkat dari tahun ke tahun. Tamat peringkat rendah bermula kembali dengan tingkatan Satu. “Bukankah semuanya bermula dari Satu,” terus satu mempertikaikan.
            Kedudukkan dua juga perlu untuk menunjukkan kematangan setelah berada dalam darjah satu. “Di sinilah peranan Dua,” jelas Dua mencelah, proses kematangan harus kepada darjah Dua sebelum melangkah seterusnya. Tak kan mungkin berada pada darjah satu pada tahun-tahun berikutnya.
            Tahun yang berlalu juga dikira dari setahun ke setahun, dan peranan dua dilihat untuk memasuki tahun seterusnya. “Jadi dua, turut berperanan melangkah untuk tahun seterusnya,” dengan bangganya Dua terus berkata-kata. Kiraan hari mahu pun bulan juga mesti berpegang kepada angka satu. Satu hari berlalu, satu minggu pun berlalu, apatah lagi satu bulan hingga ke tahun Satu tetap dominan untuk melangkah pergi.
            Bumi tetap satu, tiada lagi bumi lain termasuk bulan dan matahari. “Bayangkan bulan dah matahari ada lebih dari satu,” bingkas Satu kembali berbicara. Inilah kejadian Tuhan yang satu yang maha hebat ciptaannya yang perlu direnungkan. Bintang yang berselerakan juga dibawah cakerawala yang satu.
            “Tapi cantiknya bintang mesti melebihi satu,” Dua kembali bersuara kerana cantiknya sinar bintang bukan kerana satu tetapi mesti melebihi satu di bumi ciptaan Tuhan yang serba luas ini. Dua tetap dua tidak sama dengan maksud dua-dua, bermakna perbuatan melakukan sebanyak dua kali dapat memastikan sebarang kesilapan dapat di atasi, itulah kelebihan Dua.
            “Dua kan menjadi tanda tanya,” balas satu, kerana pasti ada mempertikaikan yang mana satu untuk mengenal pasti. Pastinya susah kalau ada dua jika dibuat pilihan untuk memilih dan dikenal pasti. Kalau ada satu pastikan lebih mudah tanpa banyak timbul persoalan nanti.
            Selalunya satu tidak cukup kerana keperluan kepada kehidupan. Semestinya di cuba satu dahulu dan jika bersesuaian baru di tambah Dua. “Bukankah Satu itu hanya untuk di cuba-cuba,” Dua makin bersuara melihat satu mula mendengar. “Keyakinan mudah diperolehi dengan adanya dua kerana banyak membantu sebagai simpanan yang amat diperlukan nanti,” Dua terus mempertahankan hujahnya.
            Makan juga akan bertambah setelah dicuba yang satu dahulu, satu selalunya yang terbaik, dua juga jika disenarai pendekkan juga turut diberi tempat untuk jadi Satu. banyak yang berkehendakkan tempat satu sebagai jaguh dan juara. “Memiliki satu juga tidak memperlihatkan kehebatan, kerana kemegahan yang sering ditunjukkan akan melebihi Satu,” Dua makin yakin dan bersemangat.
            “Semangat kekitaan, satu bangsa, satu negara adalah satu konsep yang sering diterapkan, menjadi lambang keutuhan negara dibawah satu payung lambang kedaulatan negara dengan satu kepimpinan yang mantap,” Satu mula memperjelaskan konsep kenegaraan kepada Dua. Dua bersuara kembali “dibawah kepimpinan tidak boleh hanya satu pimpinan sahaja, sebaliknya mesti mempunyai lebih dari satu kepimpinan yang bergerak menjadi tunjang kepimpinan. Barisan jemaah kabinet yang mentadbir mestilah lebih dari satu untuk menjaga kepentingan negara,” balas Dua penuh bersemangat patriotik cinta pada negara.
            Negeri-negeri disatukan dibawah persekutuan agar pentadbiran lebih licin dalam keseragaman membangunkan negara. Itu yang di katakan satu membawa kepada bersatu padu. “ jelaskan lebih dari satu menjadi satu,” tempelak Dua kepada Satu. Semuanyakan menjadi satu memperlihatkan peranan Dua dalam menentukan satu.
 Melihat dari sudut kepelbagaian dan kaca mata jelas melihatkan dua ada fungsinya dalam melahirkan idea dan pemikiran yang bernas untuk dibuat konklusi sesuatu perkara. Begitu juga akhirnya sebuah resolusi menjadi satu yang akan dinyatakan dari buah fikiran dan pandangan kedua-dua pihak. Pihak-pihak terbabit harus mengambil kira kepelbagaian pandangan dan sudut menjadi satu ketetapan, agar satu-satu perkara terlaksana.
Hubungan satu hala tidak akan terjadi timbal-balik yang mendatangkan keuntungan kepada sesiapa, seharusnya hubungan dua hala menjadi pendirian yang menjurus kepada situasi menang-menang membawa kepuasan kepada kedua-dua pihak.
“Satu nasihat, tidakkan membawa makna,” jelas Dua kerana kebarangkalian nasihat itu harus diulang-ulang kerana sifat manusia yang mudah lupa. Nasihat menasihati secara berterusan memberi makna yang lebih sempurna, tidak hanya sekali memberi nasihat yang akan membawa kepada putus asa. Kesungguhan menunjukkan lebih dari dua kali mencuba untuk mengecap kejayaan. Dipertingkatkan usaha berkali-kali tanpa penat jemu akan beroleh kejayaan.
Perdebatan satu atau dua adalah signifikan utama memperlihat sejauh mana satu dan dua ada peranan membina, kerana angka dan nilai saling berkait rapat dalam setiap perkara. Meletak kan keutamaan adalah satu yang teratas dalam merencana sebarang tindakan yang berwibawa yang pastinya di cuba berulang kali untuk melihat hasilnya.
Kejadian manusia itu bermula dari satu dan dijadikan Tuhan berpasangan menjadi dua, ujian kepada manusia mengharungi kehidupan dengan dugaan. Dugaan yang mendatang tidak hanya di uji dalam sesuatu bentuk malah bentuknya hanya diketahui oleh Yang Maha Esa. Kepelbagaian ujian tidak merujuk kepada satu sahaja malah keseluruhan kehidupan pasti teruji menunjukkan ketaatan manusia kepada pencipta. Godaan yang datang juga dalam pelbagai bentuk menuntut satu keazaman yang kukuh menjadi benteng pertahanan melawan sebarang godaan yang mendatang.
Satu-satunya cara adalah kembali kepada keimanan yang kukuh hanya pada yang satu yang menghidupkan dan yang pasti mematikan. “Bukankah satu perlu berteman,” pintas Dua menerus bicara yang makin lewah dengan bahasan. Tanpa sokongan dan dorongan teman-teman, bagaimana kekuatan dalaman dapat disatukan menuju kejayaan. Bicara tentang teman pastinya kehidupan akan bertambah indah jika ada teman, walaupun teman bukan hanya merujuk kepada satu sahaja. Istilah sahabat, kawan dan rakan membuktikan persahabatan tidak melibatkan satu sahaja kerana keakraban yang sejati mempunyai ramai kawan, maka terkenallah istilah ‘berkawan biar seribu, bercinta hanya satu”.
“Hah! Bukan kah terbukti, percintaan itu hanya yang satu, kesetian dan keikhlasan dalam percintaan,” satu mula memperkuatkan hujah tentang peri-pentingnya satu. “Benar!” Dua seperti mengiakan apa yang dikatakan Satu. “Dari sudut cinta memang satu yang nampak nyata, hakikat dari sudut yang luas, cinta tak merujuk kepada Satu. Satu mula kebinggungan dengan apa yang di perkatakan oleh Dua, “cuba terangkan dan jelaskan?” Satu ingin tahu fakta kebenaran kata-kata Dua tersebut.
“Bila berkata soal cinta, bukankah cinta itu universal dan sejagat,” dua mula mengeluarkan kebenaran yang ditegakkan. “Cinta tak merujuk kepada seseorang sahaja, kerana ianya pasti menjadi satu, namun pengertiannya lebih luas,” dua makin menyuarakan apa tersirat. Ada perkara cinta lagi yang harus diambil kira iaitu cinta abadi, cinta makhluk kepada Penciptanya, cinta umat kepada Nabinya, cinta anak kepada ibu bapanya dan cinta manusia kepada saudaranya.
Ini tidak lagi cinta kepada kebendaan dan materialistik kepada dunia, kerana tiada apa yang akan kekal abadi, telah ditinggalkan satu pedoman dan ikutan kepada manusia agar tidak tersesat jalan. Satu-satunya yang harus menjadi ikutan, bukankah itu merujuk kepada satu. Dua makin tidak membantah tentang kewajaran yang diketengahkan….
Betapa indahnya kejadian manusia dengan sifat anggotanya yang dijadikan berpasang-pasangan, “kalau dipanggil berpasang, sudah tentu merujuk kepada Dua, tidak kepada satu, bukan kah begitu Satu,” Dua seperti mengajukan soalan kepada Satu dan anggukan dari satu seperti megiakan kenyataan Dua itu. Mata ada dua, telinga ada dua, kaki dan tangan ada dua dan ini membuktikan bahawa dua adalah pelengkap kepada kehidupan. Anugerah pancaindera ini amat bernilai ertinya dan dijadikan berpasang kerana ada hikmahnya.
“Cuba renungkan andaikata semuanya satu,” kata Dua pada satu, sesuatu yang janggal dan pelik kelihatannya. Satu kelihatan diam seketika, mencari kewajaran untuk berbalas hujah dengan Dua yang semakin memberi tekanan kepadanya. “Bukankah dunia akan jadi lebih aman dengan Satu,” Satu mula berbicara kembali, lihatlah keamanan dunia tergugat dek kerana adanya perbalahan, perbalahan yang berlaku disebabkan oleh sengketa. Sengketa itu bermula dari dua pihak, “bukankah dua itu membawa perbalahan, perebutan dan pertelingkahan,” Satu menambah lagi. Dunia akan jadi lebih aman dengan adanya satu kerana tiada ada perebutan yang akan berlaku dari segi kedudukan. Ini semua berlaku adalah kerana gila kuasa yang menjadikan kita tamak dan gila berkuasa.
“Apabila dah berkedudukan nombor satu, ramai yang enggan turun dari tampuk kekuasaan,”  jelas Dua, “bukankah ini juga punca kepada perbalahan yang berlaku dan amalan demokrasi tak akan berlaku,” pintas Dua sebelum sempat Satu meneruskan hujahnya. Bukan hanya Dua menjadi perbalahan malah satu juga turut mengundang kepada perbalahan.
“Sedangkan lidah lagi tergigit,” Dua makin galak berkata-kata, memang sifat manusia suka berbalah dan berhasad dengki. Perkara itu adalah lumrah kehidupan manusia yang tak dapat dinafikan. “Kenapa ada orang kahwin dua?”, balas Dua lagi, tentu ada kekurangan yang memerlukan penambahan tersebut, kadangkala bukan sekadar tambah dua, malah ada yang tiga dan ada yang empat, yang dibolehkan syarak berdasarkan kemampuan.
“Kemampuan!” Satu mula menempelak kata-kata Dua, “benar!,” balas Dua. Tentunya ada kekurangan dan kepincangan yang berlaku pada satu mengakibatkan perkara ini berlaku. “Kekurangan yang sengaja di reka,” balas Satu selamba, tetapi hakikatnya tentu berlaku perkara tersebut hingga perlu ditambah.
“Angkara dua menjadikan sifat itu berlawanan dan menimbulkan persengketaan,” giliran satu pula membangkitkan persoalan, “bagaimana,” Tanya Dua ringkas. “cantik lawannya buruk, sikit lawannya banyak, sakit lawannya sihat dan berbagai lagi, kaya lawannya miskin, bukankah ini menunjukkan kekurangan yang membawa perbalahan,” balas Satu memperkuatkan hujahnya. Dua perkara yang berlawanan sifatnya merujuk kepada Dua.
“Bicara soal bahasa, dua juga membawa pengertian yang lebih penting,” kata Dua yang mula merendahkan suara. “Melalui penekanan kata ganda menunjukkan kesungguhan dua membawa makna,” Dua mula menambah. Gunung-ganang, bukit-bukau, lauk-pauk,kuih-muih, menunjukkan kesungguhan dua dalam menentukan penegasan agar tidak berlawanan.
Pertikaman lidah tidak akan membawa sebarang keputusan, konklusinya terletak pada fungsi angka dalam kegunaan. Satu dan dua mula mengendur bicara ibarat ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak. Semuanya bukan sekadar angka namun nilai yang dibawa adalah kehidupan, seperti awal tadi kehidupan manusia tidak dapat lari dari angka. Biar tempat keberapa hakikat keperluan tetap sama bukan sekadar angka.
Sering terlihat dijalan raya kenderaan berpendaftaran dengan abjad dan angka, bukankah terjalin dua perkara yang berbeza namun tetap diterima.alangkah lengkapnya walau berbeza, juga membawa seribu makna, “ indahnya NBS 4648,” kata Dua pada Satu mengakhiri kata tanpa sengketa…..


BADRUL GHAZALI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan