Sabtu, 19 Februari 2011

RESOLUSI CINTA DUA


RESOLUSI CINTA DUA

Rajimah menghempas suratkhabar yang baru dibacanya keatas meja kecil disisinya. “Arrgh!” dia menarik nafas panjang sambil melepaskan dengan satu keluhan hampa, geram dan membakar di dada. Bagai ada api yang sedang marak dalam dirinya.
            Berita yang baru dibaca dari suratkhabar tadi tentang, gunung berapi yang akan meletup di Yogyakarta, Jawa Tengah Indonesia, Gunung Merapi yang telah mengeluarkan kepulan asap menandakan akan memuntahkan laharnya.
            Bagi Rajimah berita tentang letupan gunung berapi yang akan meletup tidak lama lagi tidak lagi hebat, sehebat gelodak hatinya yang akan meletus seperti gunung berapi malah lebih hebat dari itu.
            Didadanya juga ada gunung, gunung yang menyimpan segala duka dan suka bersama Toyib yang sekian lama menyimpan seribu kenangan bersama. Segalanya terpendam lama bukan baru setahun dua, malah telah duapuluh tiga tahun bersama, berakad serta bersaksi dan buktinya cintanya yang bersatu telah menghadiahkan enam orang cahayamata.
            “Tak cukup lagikah, orang tua ni,” nada kemarahan yang sedikit memuncak tanya Rajimah sendirian pada dirinya, ibarat gunung berapi yang akan meletup dan pertanyaaan dalam diri ini umpama kepulan asap yang menandakan sedikit masa lagi atau beberapa hari lagi akan meledak, mengeluarkan segala yang terkandung diperutnya yang tersimpan sekian lama.
            “Kalau bab macam ni selalunya orang lelaki yang selalu dipersalahkan tak ada lain, istilah miang, gatal tak sedar diri ‘rumah dah kata pergi, kubur dah kata mari’ seringkali menjadi ungkapan.” Adu Toyib kepada rakan karibnya Rahim yang secara tidak langsung menjadi penasihatnya. Walau umurnya hampir sebaya dengan Toyib sama-sama bekerja di satu jabatan tapi Si Rahim ni masih bujang. “Kekadang buah fikiran Rahim ni boleh di guna pakai juga dalam keadaan tertentu ini,” getus hati Toyib memepertahankan kemahuannya.
            Kalau ditanya kepada Rahim mengapa tak kahwin-kahwin sampai sekarang, soalan yang sentiasa menjadi topik utama perbualan dengan mereka yang baru mengetahui si Rahim ni belum kahwin. Jawapannya mudah sahaja yang terpancul dari mulut bujang tua ni, “tak sampai seru lagi,”  Toyib dah masak sangat dengan jawapan ni, “lantak kaulah Rahim,asalkan kau bahagia,” beritahu Toyib kepada Rahim satu ketika.
            “Masalahnya sekarang bukan pasal kau, si Rahim ni tak kahwin-kahwin tapi, pasal aku ni nak kahwin lagi,” ujar Toyib yang melihat Rahim mula membisu ketandusan idea. Kisah Toyib nak berkahwin lagi ni akhirnya sampai juga kepengetahuan Rajimah, itu yang menjadi masalah yang harus diselesaikan.
            “ Kalau nak difikirkan, bagus juga Rajimah tahu akan hal ini” ujar Toyib kepada penasihatnya, sekurang-kurangnya tiadalah berat mulutnya untuk memberitahu Rajimah. Memang keinginan ini tidak mahu dirahsiakan seperti suami-suami lain.
            “Sekurang-kurang nya aku jujur mahu memberitahu Rajimah” Toyib seperti mahu membela dirinya seperti ‘menegak benang yang basah.’”Sepatutnya aku berterima kasih kepada mereka yang menyampaikan hasrat yang terbuku dihati kepada isteriku,” satu soalan yang diutarakan kepada dirinya sendiri. Masalahnya Toyib sendiri tidak tahu, insan mana yang suka ‘menjaga tepi kain orang’ ni. Kalau tahu pun bukan ada apa yang dapat dilakukan pun Si Toyib ni pun bukannya kaki pukul orang.
            Seingat Toyib sepanjang usianya belum pernah lagi dia melempang orang, malah dengan Rajimah sendiri, isterinya tidak pernah pun dia meletak tangannya kepipi Rajimah yang masih bergebu tu.
            Entah apa yang kurang pada Rajimah tu, umurnya dengan Toyib berjarak lima, enam tahun lebih muda dari Toyib juga, tapi perempuan yang dah berkahwin dan beranak- pinak, sudah semestinya sedikit sebanyak terdapat kelonggaran di sana-sini. Tapi Rajimah pandai juga menjaga badan, maklumlah perempuan yang berkerjaya juga sedikit sebanyak pandai juga melawa terutama kepejabat berhadapan dengan orang ramai. Kadangkala terpaksa juga melaram kerana terdapat persaingan antara rakan sekerja tentang jenama kain-kain baru yang menggunakan nama artis untuk menarik perhatian dijadikan fesyen pakaian, pertunjukan secara tak langsung dari tudung hingga ke kasut. Kalau boleh semuanya mesti sedondon belum lagi di tambah aksesori- aksesori make-up dan lain-lainnya.
            Rajimah juga bukan tidak tahu bersolek untuk suami juga tuntutan agama dan itulah yang dilakukan selama duapuluh tiga tahun usia perkahwinannya, tapi entah dimana silapnya, agaknya sentuhan make-up nya perlu diberi sentuhan dengan teknik-teknik terkini. Maklumlah teknik yang digunakan masih sama ketika Toyib tertarik kepadanya dulu.
            “Tapi kalau dah jadi kepingin nak menambah bini, make-up macam mana pun, jenama alat solek yang terkenal pun, lantiklah artis comel mana pun jadi duta produknya, kalau dah gatal tu gatal jugak,” dengus Rajimah sendirian.
            Sebut bab gatal ni ada macam-macam gatalnya, tambah pula dapat atau boleh di garu, “peeh!” memang cukup syok. Tapi gatal sakit kulit ni ada ubatnya senang diubati tapi gatal lagi satu ni, tak boleh nampak yang muda dan bergetah sikit maka akan timbullah keinginnan semulajadi sesetengah lelaki termasuklah si Toyib ni.
            “Mentang-mentanglah isu gatal ni masuk dalam perbahasan di parlimen,suka-suka bini aku kata aku gatal,” Toyib bersuara seperti mengadu kepada Rahim dalam satu perbincangan tentang isu gatal ni.
            Cukup melenting marahnya seorang menteri wanita yang mewakili kaum wanita, apabila ada seorang wakil rakyat  menyebut wanita gatal dalam sesi perbahasan diParlimen baru-baru ini.
            “Ooo! Bila sebut wanita gatal melenting  mentang-mentang ada menteri yang menjaga mereka, tapi bila sebut lelaki gatal tak apa,” Rahim menjawab memanaskan suasana. “Ini tidak adil! kita harus protes,” seru Toyib sambil kedua-duanya tertawa kerana tahu, protes mereka tak akan kemana ibarat ‘anjing menyalak bukit,bukit takkan runtuh.’
            “Masih kurangkah layanan yang aku berikan selama ini,” rasa tidak puashati dalam diri Rajimah yang diutarakannya sendirian mencari kepastian. Letupan gunung berapi dalan diri pasti meletus kerana tahap kepanasannya mula terasa dan memuncak, dah dekat sampai tahap didih setelah melepasi beberapa tahap untuk meletus. Limpahan lahar yang penuh dengan kebencian dan geram mendengar kata keramat akan dimadukan umpama pisau tajam yang menusuk hatinya.
            Hati Rajimah benar-benar terbakar, asapnya berkepul-kepul keluar dari setiap pelusok rongga yang terbuka, ianya sukar lagi untuk dipadam. Apa yang lebih memeritkan dan menimbulkan kemarahan yang memuncak apabila satu penemuan yang tak disangka-sangka yang selama ini menjadi rahsia dibilik tidur tidak lagi menjadi rahsia baginya.Gelodak dalam dirinya kian membara panasnya.
            Secara tidak disedari perempuan itu telah hadir dalam rumahnya malah telah berada dalam kamar tidurnya sekian lama turut menjalin mimpi indahnya bersama Toyib yang akhir-akhir ini kian romantis dan erotisnya ketika bersama.
            Segalanya tanpa diduga dan di sangka bukan lagi ‘musuh dalam selimut’malah ‘musuh dah pun masuk dalam selimut,’ secara halus, teratur dan tersusun dalam diam. “Toyib! Toyib! Toooyiiib!” jerit Rajimah melepas geram sebaik sahaja penemuan yang tak disangka itu.
            Toyib yang telah tiga hari tak pulang kerumah,dinanti dengan sabar oleh Rajimah, gunung yang semakin nak meletup itu ditahan dengan sabar biar tanda-tandanya kian jelas, kerana terngiang pesan ustazah dalan kelas-kelas usrah yang dihadirinya menyebut ‘sabar tu separuh daripada iman.’
            Dan kerana keimanan itulah Rajimah masih mampu membendung kemarahan yang sedang meluap-luap itu. Tak sangka juga dalam diam si Toyib tu ada menyimpan angan-angan nak pasang dua. “Isteri mana yang tak marah,” Rajimah masih lagi bermonolog sendirian. Kesempatan dari tak ambil kisah selama ini tentang perilaku suaminya Toyib rupanya akhirnya mengundang padah. ‘Sokong yang akan membawa rebah.’
            Nasib baik disedari dari awal atau memang dah petunjuk dari Tuhan segala yang tersimpan ini terungkai juga. Macam penyakit barah pula ‘cegah sebelum parah.’ Rajimah juga akur dan sedari sesuatu yang dibolehkan syarak ada hikmahnya, bukan niatnya hendak menentang syarak namun dalam kesnya lain cerita. Dibolehkan poligami ada sebab dan musababnya tapi cerita Toyib ni sukar untuk Rajimah merenung dari pelbagai sudut kekurangannya.
            “Toyib ni selalu out-station, entah-entah dah kahwin senyap-senyap agaknya,” keluh Rajimah sendirian lagi masih ada ruang keraguan yang terus menghantuinya sekali gus memanaskan suasana kepanasan yang pasti meletus.
            “Astghafirullahilazim!” Rajimah beristighfar kerana Rajimah sendiri amat maklum suasana panas penuh kemarahan begini, ada makhluk laknat yang pasti mengambil kesempatan menambah kepanasan sedia-ada dengan idea mengadu-domba perasaan yang berkecamuk dan bercelaru. Silap haribulan tindakan diluar batasan akan terjadi umpama ledakan percikan lahar gunung berapi tak semena-mena.
            Silap-silap boleh ‘stress’, ‘tension’ bahkan mungkin ‘histeria’ tindakan yang para-normal mula menghantui. Kalau dalam filem P.Ramlee seringkali terdengar dialog “siapa tak sayang bini oii!” sering dituturkan tapi dalam kes Rajimah ni “siapa tak sayang suami oii,” getus Rajimah mendamaikan gelodak panas dalam dirinya. “Ini betul-betul bukan cubaan,” sempat juga dialog tersebut terngiang di telinga Rajimah seperti menjadi halwa telinga di kala ini.
            Mahu tidaknya risau nak berkongsi kasih dan sayang, selama ini bersama-sama Toyiblah kehidupan susah senang mereka bermula hingga kesatu tahap kejayaan Toyib mendaki kejayaan amat membanggakan. “Bila dah merasa senang, lain pulak jadinya,” bisik Rajimah sendirian. Maklumlah duit dah banyak mulalah berkira-kira nak menambah apa yang patut.
            Apa yang membimbangkan Rajimah lagi, kalau dah berkongsi kasih nanti tentu segalanya berubah, janji lelaki memanglah pada mulanya semua dikatakan akan adil dan saksama, belum dapat kalau dah dapat, adil dan saksama tu tolak tepilah. Rajimah berani potong jari kalau salah sangkaannya. Rajimah kenal sangat Toyib ni, bukannya tak bercinta masa belum kahwin lagi.
            “Janji bulan dan syurga ni memang adat orang bercintalah,” terusan bermonolog semuanya telah dilalui bersama Toyib yang mula menunjuk belang, “agaknya dah tak ada apa nak buat agaknya saja cari penyakit, tak cukup dengan sakit darah tinggi dan kencing manis,” yang Toyib suaminya hadapi agaknya, bebel Rajimah berpanjangan membuak wap-wap kepanasan dalam dirinya.
            “Kadangkala kesian juga aku tengok suami ku ini,” nada sedikit kekenduran mula meresap dalam gempulan wap-wap yang mendidih dalam kawah berapi. Memang tak dapat dinafikan dalam bab menjaga  kebajikan keluarga memang Toyib pandai mengaturkan, dari hal keperluan anak-anak hinggalah keperluan rumah Toyib akan memastikan semuanya mencukupi.
            “Tapi itu semua ketika Toyib belum pasang dua, kalau dah pasang dua nanti agaknya boleh jadi tunggang-langgang, porak peranda dibuatnya,” ada suara yang mengipas-ngipas gegendang telinga Rajimah. Entah suara siapa samada berniat baik atau sebaliknya, tapi di fikir-fikir ada juga kewajarannya. ‘Membujur lalu melintang patah’ ketentuan ini harus diambil, pendirian harus ditegakkan ‘biar putih tulang jangan putih mata’ “senang-senang datang nak kongsi,” sergah Rajimah yang kelihatan sedikit celaru fikirannya “macam parasit tahu nak menumpang kesenangan orang aje, bila dah puas, bila dah dapat senang-senang tinggalkan,” amarah Rajimah berterusan seperti dapat membaca apa yang akan berlaku kemudian hari.
            “Kalau dah jadi sesuatu yang tak diingini, sapa susah, bini tua juga yang di cari,” luah Rajimah penuh perasaan mengatur rentak dan strategi menyelesai permasalahan yang timbul. Kisah-kisah begini memang selalu didengar kalau dah berumur nak kahwin anak dara, tambahan sanggup menerima suami orang, atas dasar apa lagi, “cinta!” terpancul keluar dari mulut Rajimah.
            “Mana ada cinta kedua dalam membina gerbang perkahwinan, lainlah kalau isteri tu dah meninggal, tu pun kira masih ada beberapa peratus untuk cinta kedua,” ingauan yang melewati masa bermain dibenak fikiran Rajimah.
            “Yang perempuan galak ni pun, macam dah tak ada lelaki lain dimukabumi Allah ni ke? Suami aku ni yang diminatnya,” luah Rajimah dalam diri.
 Kalau benar pun bilangan populasi wanita lebih daripada lelaki berpada-padalah dalam mencari suami,  jangan main tangkap muat je. “Kalau dah payah sangat, masuk aja ‘Rancangan Mencari Cinta’ siri televisyen realiti yang mencetuskan pro dan kontra, hingga terpaksa memilih sepuluh orang jejaka, tak payah rebut-rebut,” ujar Rajimah melempias geram walaupun siri teliviyen itu tidak menggambarkan realiti sebenar dan tidak disambung untuk siri musim kedua.
            Anak-anak dah besar sepatutnya perasaan malu seorang ayah terhadap anak tu mesti ada ‘kecil jangan disangka anak, besar jangan di sangka bapak,’ jangan sampai anak menasihati bapak, anak lelaki yang kedua pun dah hampir masuk duapuluh tahun. Bila diajukan pertanyaan tentang hasrat ayahnya Toyib untuk mencari ibu tiri, jawapannya juga senada dengan Rajimah. Malah bukan tak pernah memberitahu pandanganya melalui kiriman mesej sms kepada ayahnya tentang pendiriannya itu. Walau pun pesanannya ringkas berbunyi, “ayah! lupakan saja hasrat ayah untuk kahwin lagi,nanti porak-peranda keluarga kita.” Cukup memberi pengertian yang mendalam kepada Toyib
 Teringat pulak Rajimah pada sebuah lagu zaman ‘pop ye-ye’ zaman 60an nyanyian L. Ramlee lagunya berjudul ‘Ayahku kahwin lagi,’ada kalanya terasa juga kelucuannya.
            Gerak hati Toyib berlainan rasanya tidak seperti selalu penuh kegirangan untuk pulang kerumah, bukannya takut bini tapi sayang bini, tapi entah mengapa kali ini lain benar rasanya. Tidak seperti selalunya panggilan telefon atau sms ˜buah hati pengarang jantungnya’ memberi kata-kata perangsang dalam dua insan bercinta, entah ikhlas atau tidak yang kadangkala juga meninggalkan sedikit keraguan kepada Toyib, tapi segalanya tidak menjadi seperti selalunya.
            Pulang tetap pulang kerana Toyib tidak pernah mengabai keluarganya selama ini, kerana mungkin rezeki anak-anak kejayaan Toyib hingga ketahap ini, “tapi cinta itu tak boleh di paksa ia hadir juga dari kerana mata.” Toyib pula menguatkan hujahnya kepada Rahim yang sentiasa sudi mendengar dan memberi buah fikiran kepada sahabatnya dilanda mabuk kepayang dengan gadis yang telah berjaya mengetuk pintu hatinya yang selama ini telah tertutup rapat setelah kehadiran Rajimah mengisi kekosongan dirinya dulu. “Itu dulu duapuluh tiga tahun dulu, ‘sedangkan sekali air bah sekali pantai berubah’,” Rahim mula mencelah memberi ruang dan jalan melaksana impian Toyib.
            “Yang penting pucuk ulam muda,” Toyib mula menampak kesungguhan menggatal yang tak tertahan lagi, impian harus terlaksana. “Semuanya dah o.k,budak perempuan tu dah bagi ‘greenlight’ keluarganya tak da masalah, semuanya tunggu aku ‘on’ saja,” bersungguh Toyib dalam melaksanakan tugas misi dan visi rahsianya.
            Kalau Rajimah dah tahu pun tak mengapa, lambat- laun perkara baik ini, kononnya bagi Toyib akan di ketahui juga. ‘Selama ini aku merahsiakan dari Rajimah, tapi aku dapat rasa kan Rajimah telah dapat menghidu perhubungan kami,’ beritahu Toyib ikhlas. ‘Lagi pun tiada benda buruk aku lakukan dengan budak perempuan tu,’ Toyib terus mempertahankan kesungguhannya terhadap gadis tersebut.
            Rahim dari tadi masih setia mendengar hujahan-hujahan bernas Toyib ibarat memepertahankan dirinya dalam perbicaraan walaupun sebenarnya Rahim kehilangan punca untuk berkata-kata. Toyib melemparkan persoalan buat Rahim agar ada tindakbalas dalam bentuk buah fikiran dari Rahim yang dapat membantunya. “Alah! Suraya budak perempuan yang aku suka ni bukanlah lawa sangat,” Toyib mengeluarkan kata-kata. “Habis tu!” Rahim seakan menyergah, “manisnya ada,” spontan Toyib menjawab sambil tersenyum sinis menampakkan giginya.
            “Yang dah ada tu tak manis lagikah?” Rahim mengaju soalan kepada Toyib dalam keadaan asyik masyuknya memuji buah hatinya. “Manisnya ada tapi serinya tiada,” alasan yang dicari oleh Toyib bagi mematahkan soalan Rahim yang mula kelihatan berat sebelah. Akhirnya mereka berdua tertawa dengan persoalan yang telah terjawab.
            Rahim masih cuba mengenakan sahabatnya dalam suasana ceria agar dapat mendatangkan idea baru hendak berhadapan dengan Rajimah yang menunggu kepulangan Toyib. Rumah bujang Toyib seperti bilik gerakan bagi mereka mengatur strategi. Toyib ni balik dari out-station bukan terus melencung kerumah sebalik rumah Rahim yang ditujunya dalam menjalankan setiap operasi sulitnya.
            “Engkau dah ada penyakit kencing manis mana boleh tambah manis lagi,” gurau Rahim kepada Toyib yang sememangnya berpenyakit. Kali ini memang sukar Toyib hendak menepis gurauan Rahim kena tepat pada batang hidung Toyib.”Sudahlah, kau ni nak tolong aku ke tak nak,” Toyib mula mempertikaikan pertolongan yang diminta, “kau jangan marah-marah Toyib nanti darah tinggi kau naik,” ujar Rahim seperti mempermain-mainkan Toyib yang mula berasa kurang senang dengan gurauan yang dilakukan oleh Rahim tadi.
Rajimah masih setia menanti kepulangan Toyib yang telah tiga hari tidak bersua-muka kerana ada tugasan luarnya. Rajimah memang tak meragui ketulusan Toyib dalam memberitahu kemana perginya,kerana tugas Toyib yang memang sentiasa kena berurusan diluar daerah.
Dalam bibit-bibit kemuncak semakin dekat gunung berapi, mahu memuntahkan laharnya dengan letupan dan sebagainya ada juga kerinduan mengundang buat Toyib. Sebagai isteri sudah semestinya taat tumpah setianya kepada suaminya, itulah ciri-ciri isteri solehah
Toyib puas! Kali ini Toyib merasakan tindakannya benar-benar betul pada landasan yang sepatutnya. Satu keputusan dan ketetapan telah diambil. Kepulangannya kerumah kali ini ada ole-ole istimewa yang dibawa pulang, Toyib pasti tindakannya adil dan menjamin masa depan kedua-dua pihak. Tindakannya kali ini ibarat manifesto parti politik yang bertanding dalam pilihanraya, keadilan untuk semua.
Dengan itu setelah mendapat pandangan dari penasihat tidak rasminya Rahim dan setelah memikirkan semasak-masaknya satu resolusi telah dirangka dan diambil ketetapan dimana rangkanya disemak berkali-kali agar tidak ada agenda yang tertinggal,sesuai dengan slogannya keadilan untuk semua.
Resolusi dua muka surat walaupun nampak ringkas tapi padat merangkumi kebaikan kedua-dua pihak yang akan bermadu. Resolusi yang akan menentukan berjaya atau tidak keinginan Toyib yang harus di realisasikan menurut Toyib. “Perkara yang baik harus disegerakan,” Toyib bersuara menampakkan kesungguhan keadilan yang ingin dilaksanakan.
Resolusi yang dinamakan ‘Resolusi Cinta Dua’ walaupun jangkamasa disiapkan mengambil masa yang singkat dan spontan tercetus dari ilham nuraini Toyib yang mahu segalanya mengikut kehendaknya. Toyib berasa cukup adil kerana tidak mahu resolusi ini menjadi ‘api dalam sekam’ merosak mesyuarah persepakatan yang cuba diatur. “Nak mendirikan masjid ni,cuma tunggu masanya saja,” kias Toyib kepada Rahim yang kelihatan tersengeh. “Masa?” terpancul dari mulut Rahim, “Ya! masa resolusi ini ditantangani sebagai Mou kerjasama kedua pihak,” terbeliak mata Toyib memberi penjelasan kepada Rahim.
Sebaik sampai di perkarangan rumah, Toyib turun dari keretanya kelihatan Rajimah telah menunggu menyambut kepulangannya. Toyib penuh harapan bersama ole-ole yang dibawa pulang. Ole-ole yang tidak seperti selalunya dibawa pulang, kali ini dalam bentuk resolusi yang harus diperjelaskan.
Tanpa banyak bicara Rajimah menyambut salam yang dihulur oleh Toyib sambil mengucup tangan Toyib tetapi dadanya berombak turun naik bagai gunung berapi yang akan meletup, dicapainya sekeping gambar dan sebiji bantal yang diletakkan diluar rumah mereka. Amat jelas Toyib melihat gambar Suraya gadis yang turut terbabit dalam resolusinya yang sering dimimpikan yang disimpan dalam sarung bantal yang sering menjadi alas lenanya dikamar tidurnya sekian lama bersama Rajimah.
Rajimah terus membisu menyalakan api yang terus membakar sekeping gambar dan bantalnya sekali, Toyib hanya mampu melihat asap berkepul-kepul memenuhi ruang lamannya dan sebuah resolusi ditangannya tidak mampu dibendungnya lagi akhirnya melurut turut sama menjadi bahan bakar menyemarakkan api yang sedang bernyala.
Didada Rajimah gunung berapi tersebut telah meletup dan telah memuntahkan laharnya dan di dada Toyib ada jiwa yang terkorban.
Selang beberapa bulan kemudian Toyib menerima kad undangan perkahwinan yang tertera nama pasangannya menjemput Toyib sekeluarga menghadiri majlis gemilang tersebut. Tertera nama pengantin Abdul Rahim bin Mohamad dan pasangannya Suraya binti Abdullah.
Toyib mengenyeh-genyeh matanya seperti tidak percaya melihat apa yang dilihatnya,Toyib redha sekurang-kurangnya resolusinya telah terkorban dalam letupan gunung berapi tetapi niatnya untuk mendirikan masjid diteruskan oleh sahabat karibnya. Pastinya ada syaitan yang menangis teresak-esak.....

            nukilan,
Badrulghazali

Tiada ulasan:

Catat Ulasan