Ahad, 27 Oktober 2013

Terguris Daulat

Demi tanah tumpahnya darah
Seinci terusik adalah hak dan maruah
Jangan persenda warna merah darah watan
Biar sampai putih tulang rela kami pertahan
Walau rebah bertongkat dagu
Semangat pewira tak pernah goyah.

Petualang datang patut diganyang
Bumi dimakmur bukan milik orang
Pantang mengundur tanpa menentang
Kerana sejarah membuktikan
Kami pahlawan terbilang
Bersatu andai digugat
Berani kami atas kebenaran
Bertindak atas kewajaran
Bertahan atas kebijaksanaan
Bersatu demi keamanan.

Jiwa dan raga bersemadi di sini
Daulat ini jangan diragut
Padahnya nanti pasti menanti
Terusik di sanubari
Parahnya di jasad
Kerana agama kami junjung
Kerana bangsa kami sanjung
Kerana negara kami dukung.

Andai rebah perwira diperbatasan
Akan bangkit lagi tunas watan
Tak rela kami berputih mata
Walau nyawa menjadi galang ganti
Tetap pertahan tanah tumpah darah
Hingga titisan akhir perjuangan
Demi negara tercinta ini.

Terguris daulat ini
Akan kami pertahan
Walau nyawa bercerai jasad
Taburkan bunga atas kuburan.



3 ulasan:

  1. penulis menceritakan tentang kemegahan bendera malaysia yang membawa banyak maksud bagi rakyat dan bukan untuk dipersendakn.Karya ini sangat menarik dipertonton untuk rakyat malaysia memahami maksud semangat kecintaan kepada negara sendiri .

    BalasPadam