Ahad, 27 Oktober 2013

Inilah Barisan Kita
Semangat patriotik ku bagaikan membara membaca suratkabar yang memaparkan pencerobohan di Lahad Datu, ku tutup dan lipat kembali suratkhabar yang telah kubaca. Bagaikan terusik setelah mengikuti laporan perkembangan yang berlaku. Bermenung panjangaku memikirkan apa yang telah ku baca dengan perasaan berbaur geram, marah apabila kedaulatan tanah air negara Malaysia yang ku cintai di cerobohi. “Cis bedebah sungguh musuh!,” bicara hatiku lagak bagaikan pahlawan silam, maka teringat kata-kata azimat biar berputih tulang dari berputih mata. Aku bagaikan bermonolog sendirian kerana cintaku pada negara dan keamanan. Sejarah banyak tercatit keganasan akan membawa kemusnahan yang cukup difahami oleh semua orang. Orang-orang tua dahulu yang pernah menghadapi sesuana keganasan yang pernah berlaku di tanahair sering mencanangkan kesan keganasan pada zaman Jepun darurat dan sebagainya.
“Ini tanahair kita, ini maruah kita, seinci diusik bagai tergadai maruah kita,” makin kuat suara hati berbicara. Ini belum diambil kira dalam sejarah tanahair pernah berlaku pembelotan dari dalam dengan bantuan si pengkhianat dan sidurjana yang memberi bantuan. Pembelot ini bagaikan melacur maruah demi agenda masing-masing. Teringat pesan orang tua-tua tak kan pisang berbuah dua kali, namun bagaikan sejarah berulang yang tidak kita ambil iktibar. Pembelot-pembelot negara ini tidak harus dibiarkan hanya hukuman mati yang sepadan buah mereka. Marah ini makin menjadi-jadi kerana sayang seorang anak watan kepada tanahairnya seharusnya menebal dalam diri yang tidak boleh digugat.
Musuh ini harus ditentang walau nyawa yang menjadi galang gantinya, biar nyawa bercerai jasad demi mempertahankan tanahair. Musuh yang tak diundang harus disingkir dan dihapuskan, andai perwira-perwira negara gugur, taburkan bunga di atas pusara, setidak-tidaknya kita iringkan doa kepada pasukan keselamatan negara agar dapat menumpaskan petualang negara. Pengorbanan mereka tidak terbayar dengan wang ringgit kerana nyawa dipertaruhkan demi negara. Kepentingan negara dan cinta kepada negara mengatasi cinta dan kasih sayang seorang isteri yang menjadi balu, anak yang menjadi yatim, ibu bapa yang kehilangan anak yang tercinta dan saudara-mara dan sahabat handai yang kehilangan orang yang tersayang. Patah tumbuh hilang berganti namun tak kan sama dengan mereka yang telah pergi buat selama-lamanya
Peluru memang tak bermata dan petualang tak mengenal mangsa demi kerakusan serakah mencapai matlamat yang sia-sia. Petualang ini juga bagaikan mabuk darah demi mencapai matlamat perjuangan yang tidak nyata. Membuta tuli dan hilang sifat kemanusiaan dengan perlakuan yang durjana yang makin menggila walau diberi susu tuba yang di balas. Petualang bangsat ini adalah anjing-anjing suruhan yang berani secara sembunyi tanpa berani berdepan dengan barisan hadapan negara yang kental semangat keperwiraannya. Gugurnya pahlawan negara adalah haruman kasturi yang semerbak di seluruh pelusok negara yang tercinta. Kami rakyat Malaysia mohon doa Malaysia berjaya.
Semboyan itu telah berbunyi menuju medan bakti yang menagih semangat kental perjuangan yang terus maju pantang berundur, sekali melangkah tiada apa yang dapat memisah, hanya kuasa Allah yang menjadi penentu segala. Andai barisan hadapan rebah akan ada lagi banteng pemisah yang menjadi penghalang untuk musuh menerjah. Bersatu kita teguh tak kan kita bercerai roboh demi tanahair tumpah darah ini.” Bukan hanya jasad yang pasti menjadi benteng, malah jiwa dan raga rela kami serahkan,” ungkapan kata-kata yang terucap dari jiwa kepahlawanan yang ada dalam diri setiap anak watan. Sumpah dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada keluhuran pelembagaan dan kedaulatan undang-undang yang dipertegakkan di atas kerukunan negara yang dijunjung. Kesetiaan kepada Raja dan Negara harus dibuktikan dinegara berdaulat ini di bawah Lembayung Rahmat Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Sekalung penghargaan tidak terhingga pada pihak keselamatan negara yang bertungkus lumus mempertahankan kedaulatan negara dengan keringat yang tertumpah menjadi bukti sumbangan bakti buat pertiwi. Lunas undang-undang harus menjadi pelengkap kepada pengajaran kepada anasir-anasir lain yang cuba menangguk di air keruh. Perpaduan utuh adalah teras kepada negara yang tidak memungkinkan musuh-musuh durjana mengambil kesempatan atas kealpaan kita semua.
Ingatan ku kembali mengimbau ketika zaman kanak-kanak ku di kampong, di mana rata-rata sahabatku termasuk diri ku bercita-cita apabila besar nanti mahu menjadi askar kerana bagi kami ketika itu kerjaya yang sangat hebat dapat berbakti kepada negara. Pengaruh- pengaruh filem ketika itu turut menyuntik semangat kami untu menabur bakti antaranya filem Sarjan Hassan lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang banyak menanam nilai-nilai cinta kepada negara yang menebal.
Aktiviti aku bersama rakan-rakan yang lain ketika itu, celik saja mata pada hari cuti sekolah tentulah bermain perang-perang dengan menggunakan kayu dan bahan lain yang boleh dijadikan senapang. Cukup seronok merasai suasana zaman itu bermain perang-perang yang secara tidak langsung menebalkan semangat patriotik dalam diri kami. Semangat patriotik itu tidak pernah padam walaupun cita-cita ku yang dulu tidak menjadi nyata namun aku turut berbangga ada rakan-rakan kami membawa cita-cita itu menjadi kenyataan. Aku cukup berterima kasih kepada pasukan keselamatan dengan berbakti menjaga keselamatan dan ketenteraman kami sebagai masyarakat dapat menjalani kehidupan tanpa rasa tergugat dan terjamin dibumi bertuah ini.
Mungkin generasi sezaman dengan ku menghafal lirik lagu-lagu patriotik yang sering berkumandang dicorong-corong radio di zaman tersebut. Walaupun lagu-lagu tersebut diberi nafas baru pada zaman kini dengan penggubahan rentak baru dan dinyanyikan oleh penyanyi baru. Namun bagiku nostalgia lagu-lagu patriotik yang menyuntik semangat keperwiraan dalam diri masyarakat pada zaman tersebut cukup menyentuh naluri sebagai anak bangsa yang sayang akan negaranya, secara tidak langsung membina jati diri bangsa. Lagu-lagu patriotik tersebut sepatutnya tidak hanya dimainkan ketika menyambut hari kemerdekaan sahaja sepatutnya dihayati sepanjang masa.
Alhamdulillah sejak dari kecil aku amat mengagumi penyanyi asal lagu Inilah Barisan Kita yang dapat ku dengari melalui corong radio. Suara garau yang menyanyikan lagu ini dengan penuh penghayatan dan bersemangat cukup menarik minat ku pada ketika itu dengan barisan lirik yang penuh bermakna. Aku teliti setiap bait-bait  lirik dan ku fahami dengan mendalam maksudnya. Cukup indah dan bermakna yang membangkitkan semangat ku mencintai negara tercinta. Secara tidak langsung membentuk warganegara yang bertanggung-jawab kepada negaranya. Bagi ku pelbagai tafsiran yang dapat dibuat namun lagu Inilah Barisan Kita yang sering kami nyanyikan ketika zaman kanak-kanak ketika bermain perang-perang terus melekat dan sebati dalam diri ini.
Beberapa bulan sebelum pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu aku berkesempatan mewawancara  penyanyi asal lagu ini Jamaluddin Alias yang bertugas sebagai penyiar di RTM dalam usaha aku membantu Dr Talib Samat Tokoh Pengarang Negara yang turut berjuang melalui mata pena,  menyiapkan biografi bekas kakitangan RTM. Usaha Dr Talib Samat menzahirkan kekentalan pengorbanan perajurit tanahair dan perjuangan beliau melalui bidang penulisan sehingga melahirkan ratusan buku. Buku berkaitan peristiwa Lahad Datu melalui puisi dan cerpen memberi kesan kepada generasi muda melalui dunia kesusasteraan.
Aku amat bersyukur akhirnya aku dapat bertemu dengan beliau yang kini telah melewati umur 70an yang menceritakan betapa bangganya beliau dapat menyanyikan lagu Inilah Barisan Kita ketika itu. Ketika menyanyikan lagu tersebut menurut beliau dapat menaikkan semangat beliau dan kekuatan dalaman yang dapat dirasai.  Walaupun kekuatan fizikal itu tiada lagi pada beliau yang telah dimamah usia namun, “ kekuatan dalaman itu masih menebal,” katanya bersungguh. Selain itu beliau turut menyumbangkan suara beliau dalam lagu-lagu patriotik yang lain seperti Malaysia Berjaya, Samudera Raya dan yang lainnya. Bagi saya kekuatan vokal beliau amat serasi dengan lagu patriotik sehingga kini amat sukar untuk di cari ganti. Tugasan beliau ketika berkhidmat membuat liputan dalam apa jua keadaan banyak memberi iktibar kepada beliau untuk berpesan kepada generasi muda kini untuk mencintai negara dengan mengekalkan keamanan.
Ini terbukti jika kita sendiri menghayati lagu tersebut seperti membangkitkan semangat kita bukan saja untuk berjuang dimedan medan perang malah untuk bertempur dalam apa jua bidang yang dapat membangunkan negara. Kemakmuran negara yang dikecapi adalah pengorbanan yang dilakukan oleh para perajurit negara sejak dari dulu lagi seperti yang terdapat dalam bait-bait lirik lagu tersebut.
Namun aku berbangga dengan sikap prihatin rakyat yang cinta akan negaranya dan atas dasar terima kasih kepada pihak keselamatan sebuah tabung telah ditubuhkan. Walau kami tak mampu berjuang mengangkat senjata namun kami amat prihatin akan bebanan yang akan ditanggung oleh waris pejuang negara dan anggota keselamatan yang tercedera dalam mempertahankan tanah air serta mereka yang turut terbabit. Wang ringgit ini bukanlah ukuran tetapi sebagai tanda kami tetap bersama dalam perjuangan ini. Biarlah kebukit sama kita daki dan kelurah sama dituruni, yang ringan sama kita jinjing yang berat sama kita pikul. Biarlah kami menjadi barisan belakang dengan semangat kesukarelaan untu membantu dengan apa yang terdaya.
Aku mula bernyanyi kecil menyanyikan lagu tersebut, “ inilah barisan kita, yang ikhlas berjuang, siap sedia berkorban, untuk ibu pertiwi……” “sebelum kita berjaya, jangan harap kami pulang,inilah sumpah pendekar kita, menuju medan bakti…,””andai kata kami gugur semua, taburkan bunga di atas pusara, kami mohon doa Malaysia berjaya….””semboyan telah berbunyi, menuju medan bakti…”

Pada yang telah gugur kami taburkan bunga di atas pusara, moga mendapat ganjaran di sana, pemergian kalian penuh bermaruah demi agama,bangsa dan negara. Perjuangan itu akan terus terpahat disanubari sejarah yang tak akan terpadam selama-lamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan