Isnin, 29 April 2019

Siri Sesekali Berlabun
Derma untuk abang aney
Masa kecil dulu memang Tok Ayah sudah beritahu "kita ni kena berbuat baik, kalau buat baik dapat pahala" ngomel Tok Ayah sambil mengemudi 'handle' vespa super 150 ketika bawa saya menunggang vespanya ke surau.
Saya yang masih bersekolah rendah tahap satu ketika itu, kalau naik vespa mesti berdiri sambil memegang meter vespa, sambil Tok Ayah berpesan "jaga kaki, jgn terpijak 'brake' kaki tu" yang sentiasa saya ingat. Jadi bayangkan lah sendiri situasi naik vespa tu.
Berlabun ni bukan nak cerita pasal vespa walau dah ada kumpulan peminat vespa antik ni, tapi nak berbalik pada cerita apa yang Tok Ayah dah beritahu tadi supaya berbuat baik, moga apa yang diberitahu tadi menjadi ilmu yang dimanfaatkan dan ganjaran pahala masih diterima walaupun Tok Ayah dah kembali ke rahmatullah dan saya pun dah berusia separuh abad.
Tok Ayah ni pencen sebagai ahli bomba dan banyak masanya ke surau jadi imam surau. Sekarang ni abang bomba memang 'hero Malaya' banyak bakti, banyak jasa pada masyarakat. Jadi rasanya dulu Tok Ayah juga tentu hebat masa jadi 'fireman' ketika berkhidmat dengan 'fire brigade'. Buktinya tengok gambar lama masa berkhidmat dulu
kacak juga Tok Ayah. Kekacakan itulah yang saya warisi agaknya.
Habis tu apa kena mengena dengan abang aney yang minta sedekah depan pintu bank yang ada panel patuh syariah tu. Begini ceritanya, ketika nak cucuk keluar wang ,di mesin keluar duit yang sebelah lagi tertulis 'out of service' ketika saat pertengahan bulan menjelma....panjang pulak ayat, buat faham saja la, ketika nak 'push' pintu ternampak la abang aney tu menadah tangan dan minta sedikit wang kerana belum minum pagi,
saya pun berkata " kejap aney kasi saya,angkat duit dulu dan terus berlalu masuk.
Teringat pula apa yang Tok Ayah beritahu, kalau nak tolong orang jangan la berkira apa kepercayaan orang tersebut. Berbuat baiklah sesama insan kerana kita semua makhluk Allah. Kaum juga tidak semestinya menunjukkan apa anutannya. Terdetik nak sedekah dekat abang aney yang kusut masai lagi berjambang tu.
Setelah dengan jayanya mengeluarkan wang yang masih bersisa, lalu dimasukkan kedalam dompet yang telah 8 tahun dibeli 'alah membeli, menang memakai' tu. Beberapa keping wang nilai rendah, dikeluarkan untuk diberi kepada abang aney seperti yang dijanjikan tadi 'janji ditepati'.
Menolak pintu keluar abang aney masih di situ lalu ku hulur beberapa keping wang nilai rendah pada abang aney. Yang penting ikhlas bukan jumlah yang menjadi ukuran dan abang aney menyambutnya dgn wajah gembira dan senyum.
Ketika hati saya berbunga keikhlasan dan tenteram, tiba-tiba dari mana kakak ini muncul dibelakang sambil berkata-kata " nanti dia pergi minum mabuk la tu" secara sinis dan ketika itu prasangka mula menerpa.
Entahlah kebenaran itu wujud atau persepsi kepada abang aney menjadikan keikhlasan tadi tergantung. Biarlah begitu setidaknya sedekah dan derma berlainan darjatnya tetapi mulia...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan