Isnin, 29 April 2019

Siri Sesekali Berlabun
Abang aney pinjam duit
Berlabun pinjam duit ni tentu teringat buat 'personal loan' dengan syarikat kewangan yang besar teguh dan peramah atau saya mesti pilih. Bab tawaran yang diberikan masa nak suruh meminjam bagai 'menanam tebu di bibir mulut' dengan kadar bersaing 'low interest' yang memukau. Bukan saja terpukau pada 'rate' yang diberikan, tetapi terpukau juga dengan pegawai kewangan perempuan yang bicara manis dan muka manis yang menguruskan pinjaman tu. Nasib baik teringat janji nak sehidup semati dengan orang rumah masa bercinta kat Lake Garden Taiping dulu menerpa.
Tapi masa 'sign aggrement' tu tak terbaca la pulak terma dan syarat kadar 'rate' tu 'flate' ke tak? maklumlah tak nak kecil kan hati pegawai kewangan yang manis tu dengan pertanyaan, tapi tu le bebaru ni terima pulak surat pemberitahuan kadar 'rate' tu dinaikkan katanya ada kena mengena dengan Bank Negara setelah membayar hampir 10 tahun dan kenaikan tu ada' back dated' 2 tahun sebelum pulak. Telan aja la dah adat meminjam mana boleh untung nak untung kena berniaga la....
Tapi nak berlabun tentang abang aney yang jadi 'Jaga' di pondok pengawal tempat kerja dan pondok keselamatan tempat kediaman saya. Jadi ada 2 orang abang aney yang saya kenal yang menjalankan tugas dengan dedikasi.
Abang aney jaga tempat kerja ni pada suatu petang ketika meronda kawasan tiba-tiba berhenti depan saya beritahu " encik! pinjam rm 10 tak bawa dompet, esok lalu depan pondok pengawal saya bayar," pinta abang aney hiba. Saya yang baik budi menghulur tanpa prasangka apalah nak berkira sangat kalau beri pun mengurang tidak menambah pun tidak.
Tapi 'moral of story' story telling saya ni, hari berganti hari saya melalui pondok keselamatan tempat kerja tu abang aney buat ingat tak ingat dengan selamba je, saya pun tak kisah dengan jumlah pinjaman tu berbanding dengan 'loan' pinjaman bank yang saya buat sejak dahulu, tapi tu la" janji ditepati, malu apa bossku," monolog saya dalam diri. Tapi 'dont worry aney saya boleh kasi halal walau banyak restoren mamak katanya tiada sijil halal.
Abang aney jaga kawasan perumahan saya lain pulak 'style' pinjamannya. Mula-mula pinjam rm 20 sebab belum dapat gaji, nanti dapat gaji "saya kasi bayar," kata abang aney. Memang betul dia bayar lagi sehari dia nak dapat gaji tapi seminggu lepas tu abang aney jumpa lagi nak pinjam duit. Kali ini abang aney 'up' pinjaman jadi rm 30.
Malangnya sampai sekarang abang aney belum jumpa tarikh nak bayar. 'So dont worry' abang aney, saya bukan orang kaya tapi saya kaya budi bahasa. Saya serupa YB juga boleh merasa denyut nadi rakyat. Saya akan halalkan juga untuk abang aney....
Siri Sesekali Berlabun
Derma untuk abang aney
Masa kecil dulu memang Tok Ayah sudah beritahu "kita ni kena berbuat baik, kalau buat baik dapat pahala" ngomel Tok Ayah sambil mengemudi 'handle' vespa super 150 ketika bawa saya menunggang vespanya ke surau.
Saya yang masih bersekolah rendah tahap satu ketika itu, kalau naik vespa mesti berdiri sambil memegang meter vespa, sambil Tok Ayah berpesan "jaga kaki, jgn terpijak 'brake' kaki tu" yang sentiasa saya ingat. Jadi bayangkan lah sendiri situasi naik vespa tu.
Berlabun ni bukan nak cerita pasal vespa walau dah ada kumpulan peminat vespa antik ni, tapi nak berbalik pada cerita apa yang Tok Ayah dah beritahu tadi supaya berbuat baik, moga apa yang diberitahu tadi menjadi ilmu yang dimanfaatkan dan ganjaran pahala masih diterima walaupun Tok Ayah dah kembali ke rahmatullah dan saya pun dah berusia separuh abad.
Tok Ayah ni pencen sebagai ahli bomba dan banyak masanya ke surau jadi imam surau. Sekarang ni abang bomba memang 'hero Malaya' banyak bakti, banyak jasa pada masyarakat. Jadi rasanya dulu Tok Ayah juga tentu hebat masa jadi 'fireman' ketika berkhidmat dengan 'fire brigade'. Buktinya tengok gambar lama masa berkhidmat dulu
kacak juga Tok Ayah. Kekacakan itulah yang saya warisi agaknya.
Habis tu apa kena mengena dengan abang aney yang minta sedekah depan pintu bank yang ada panel patuh syariah tu. Begini ceritanya, ketika nak cucuk keluar wang ,di mesin keluar duit yang sebelah lagi tertulis 'out of service' ketika saat pertengahan bulan menjelma....panjang pulak ayat, buat faham saja la, ketika nak 'push' pintu ternampak la abang aney tu menadah tangan dan minta sedikit wang kerana belum minum pagi,
saya pun berkata " kejap aney kasi saya,angkat duit dulu dan terus berlalu masuk.
Teringat pula apa yang Tok Ayah beritahu, kalau nak tolong orang jangan la berkira apa kepercayaan orang tersebut. Berbuat baiklah sesama insan kerana kita semua makhluk Allah. Kaum juga tidak semestinya menunjukkan apa anutannya. Terdetik nak sedekah dekat abang aney yang kusut masai lagi berjambang tu.
Setelah dengan jayanya mengeluarkan wang yang masih bersisa, lalu dimasukkan kedalam dompet yang telah 8 tahun dibeli 'alah membeli, menang memakai' tu. Beberapa keping wang nilai rendah, dikeluarkan untuk diberi kepada abang aney seperti yang dijanjikan tadi 'janji ditepati'.
Menolak pintu keluar abang aney masih di situ lalu ku hulur beberapa keping wang nilai rendah pada abang aney. Yang penting ikhlas bukan jumlah yang menjadi ukuran dan abang aney menyambutnya dgn wajah gembira dan senyum.
Ketika hati saya berbunga keikhlasan dan tenteram, tiba-tiba dari mana kakak ini muncul dibelakang sambil berkata-kata " nanti dia pergi minum mabuk la tu" secara sinis dan ketika itu prasangka mula menerpa.
Entahlah kebenaran itu wujud atau persepsi kepada abang aney menjadikan keikhlasan tadi tergantung. Biarlah begitu setidaknya sedekah dan derma berlainan darjatnya tetapi mulia...

Jumaat, 4 Ogos 2017

Warnasari Nusa

Warnasari Nusa

Jinjang kebahagian terbina
penuh berwarna seri wajah
Laksana muhibbah dalam kalbu
amat bermakna lagi indah pesona.

Rupa paras mungkin ketara dimata
Namun harapan didada pelbagai bangsa
Membina gemilang cemerlang negara
Mengetepi beza angkara sengketa
Kami pewaris bumi sentosa
tunas harmoni yang barcambah nyata.

Tiada apa yang berbeza
Warna kita adalah sama
Usah menjadi mendung hitam
Kerana merah darah tetap tak berubah
Teguh dibawah kerukunan
Berpaksi akan pelembagaan.

Dipundak terpikul amanat digalas
Sejarah tak lena terpadam
perpaduan menjadi gagah
Dengan langkah seiring sekata
Mendepani masa penuh akrab
Kita berbeza tapi serupa.

Bangsa Malaysia teras gemilang
kemakmuran dapat kita nikmat bersama
daulat negara penuh limpah kurnia
menuju wawasan genggam erat terlaksana
bantu membantu senjata kekuatan
benteng bersama pertahan nusa.

Langkah ini semakin dewasa
Berbeza namun  sekata perkasa
Kami tidak lagi goyah melangkah
Maju bersama nusa tercinta
Malaysia kami penuh bermakna.


Ruas Kemerdekaan

RUAS KEMERDEKAAN

Berkumandang kembali laungan keramat
Bergema pada sorak pergertian yang jitu,
Nadi perjuangan semarak, terus membakar.
Bertunjangkan perpaduan tanpa mengira bangsa.

Sepakat  kita demi negara
Tunggul-tunggul perjuangan,
Adalah nisan kemenangan
Berceracak di tugu setia,
Pada setiap sumpah pahlawan,
Yang tak beganjak,
Dari setiap inci laman tercinta.


Setiap titih darah merah pernah tertumpah
Adalah janji kesejahteraan buat kita,
Yang kita kutip dari luka dan jerih payah,
Meniti sejarah membina muafakat
Kerana tiada yang dapat menodai keikhlasan,
Demi tanah air yang tercinta.

Panji-panji perjuangan telah terkibar
Masih tertegak megah di pundak
Dukung yang tak membawa rebah,
Menjadi pewaris wasiat,
Saka perwira yang di perturun
Pada setiap anak bangsa.

Pada laungan keramat yang bergema
Tersirat khazanah suka dan duka,
Untuk kita lupa segala sengketa,
Bersatu hati berpayung dibawah mahkota
Dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung.

Tanpa tongkat sakti untuk menongkah,
Kita tidak bertatih lama untuk berjalan.
Hanya luk tujuh bekal semangat
Menanti terhunus pertahan negara,
Mengajar kita erti keberanian
Pertahan maruah dari tercemar,
Agar duduk kita sama rendah,
Berdiri kita sama tinggi
Dapat mendongak dari meyembah.

Ruas kemerdekaan kita
Adalah dari zaman ke zaman
Genggam yang dipertahankan,
Menghunus daripada tersarung,
Kerana bukan harta yang di wariskan
Tetapi semangat perjuangan
Yang tak pernah padam.


Mercu Akrab

Mercu Akrab

Bergandingan memacu perpaduan
Ketepi segala beza dan sengketa
Menjana matlamat erat berpadu
Kita adalah satu bangsa yang menuju mercu.

Perpaduan mendamaikan kita
Jangan diukur paras dan rupa
Segalanya bukan penghalang
Erat kita membina gemilang
Kitalah pewaris sentosa
Dari sejarah yang tak pernah lena.

Majulah bangsa Malaysia
Kukuhkan segala menjadi satu
Kita bernaung langit yang sama
Berbagai bangsa berdiri sebaris
Teguh bertunjang kerukunan
Bersaksi akan perlembagaan.

Warnalah dengan cara kita
Masa depan mengikut acuan
Terbentuk pada jiwa luhur
Semangat satu Malaysia
Tersemai pada jiwa setiap generasi
Benteng harmoni negara.
Dengan limpah kurnia
Dirgahayu bangsa Malaysia
Dipayungi rahmat sejahtera
Hormat menghormati menjadi setia
Menggengam erat melaksana citra
Gemilang Malaysia rakyat sejahtera.

Kita semakin gagah
Perkasa dimata dunia
Indah pesona penuh bermakna
Bernaung dibumi saksama
Satu Malaysia menjadi mercu tanda.




s

Wajah Kita Serupa

WAJAH KITA SERUPA

Wajah kita serupa
Darah merah adalah sama
Usah biarkan menjadi pekat hitam
Kerana kita adalah pengisi
Rumah harmoni.

Hilangkan segala sengketa
Walau apa warna kulit mu
Kerana kita adalah pewaris
Rumah makmur.

Hulurkan semangat bantu
Cekal satu ikatan
Teguh dibawah kerukunan
Berteduh pelembagaan.

Bertautlah atas rasa kecintaan
Tali persaudaraan kita kukuhkan
Walau apa kepercayaan
Tiada garis pemisah yang menghalang.

Kita adalah bangsa berdaulat
Negara penuh limpa kurnia
Berganding menjana wawasan
Rupa jiwa yang satu
Arah yang dituju
Matlamat yang jitu.

Setiap inci tanahair
Maruah kita bersama
Harus kita pertahankan
Senada dan seirama
Satu bangsa Malaysia.


Membina Taman Di Tugu Harmoni

Membina Taman di Tugu Harmoni

Beriringan menggengam sepakat
Perpaduan membatas segala angkara
Menjalin kerukunan di bawah lembayung
Wadah satu bangsa yang menuju mercu.

Keharmonian menyatukan kita
Warna paras dan rupa berbeza
Batu penghalang tidak terbina
Erat kita mencapai cemerlang
Kitalah pewaris kemakmuran.

Kitalah bangsa Malaysia
Pererat segala menjadi satu
Bernaung di lizuardi yang sama
Bangsa utuh berdiri sebaris
Denyut nadi rentaknya sama.

Coraklah dengan acuan kita
Masa depan menjanjikan sirna
Bersatu pada jiwa luhur
Semangat satu Malaysia
terbina pada jiwa dipupuk
Limpah kurnia menjadi paksi.

Dirgahayu daulat bangsa Malaysia
Dipayungi rahmat sejahtera sentiasa
Hormat menghormati menjadi setia
Menggengam erat melaksana citra
Gemilang Malaysia rakyat sejahtera.

Membina tugu harmoni buat kita semua
Memiliki tanpa wasangka yang mendomba
Taman ini adalah halaman warisan kita
Menghirup abadi melangkah ke mercu jaya.