Selasa, 24 Mac 2015

Jiran Rumah Baru



Jiran Rumah Baru
Sapaan pertama itu kemesraan
dalam tulus ikhlas
membina persekitaran baru
dan ukhwah kesejahteraan
berbicara pengikat sailutulrahim
berkenal tanda muhibbah
yang keterasingannya kita singkir.

Rumah baru itu berseri
warna keceriaan yang berwarna
dalam ramah yang indah
kita senyum tanda sepakat
jiran yang membawa berkat.

Jiran yang bersilang sebuah rumah
terlebih dahulu mengetuai pindah
deretan rumah baru tersergam
dan kerana itu
jiran ini bagai kemudi
mengetuai jiran baru
dan usia yang lebih matang
memantapkan anugerah ketua.

Tempoh singkat menyapa mesra
bagaikan lama telah berkenal
dalam nada tegur dan gurau
menyimpul simpul bila bersua.

Hari ini aku datang ke rumah baru
rumah jiranku suram
hilang warna kemeriahan
seperti mana berpindah dulu
dalam warna meriah dan senyum.

Julai 2014 – Oktober 2014
Tempoh empat bulan adalah perkenalan
Tempoh empat bulan adalah kemesraan
Tempoh empat bulan adalan keakraban
Tempoh empat bulan adalah persaudaraan.

Sekujur tubuh di perbaringan rumah baru
menyelimuti tubuh itu
tubuh yang sama kita berbicara
tentang kisah rumah baru
tentang menjaga kesihatan
tentang pengalaman hidup
tentang halaman terakhir.

Hari ini air mata ku menitis
dalam tempoh singkat ini
kau berpindah lagi
ke rumah baru
dalam perjalanan menuju abadi
Inalillah....

Badrul

Rumah Baru Ini Dik



Rumah Baru Ini Dik

Rumah baru ini dik
adalah keringat teduh
yang terhimpun dari tapak setia
dengan jerih zaman
dibina dengan saksi janji
berimbun rumpun sabar.

Kita berpindah dik
dari ruang  ketidak punyaan
dengan janji mampu milik
kata mereka yang di tampuk
sedangkan  kita terkial
memasang sinar
dimahligai sempit.

Sekian lama terbina bahagia
yang dulu  kita bayar harganya dik
dengan nilai kasih sayang
seperti manis bibir empunya
meningkatkan sewa
yang menghilangkan
ehsan dan kemanusiaan.

Kita bekali terus bertahan dik
 dalam teduh rumah tangga
setiap kali bocor mencurah
adalah titis peluh kita dik
mencorak warna bahagia
bersama senyum pemilik
bulanan habuah miliknya.

Rumah baru ini dik
terlalu mahal nilainya
entah apa sengsara
mereka tidak berkira
dalam dunia yang meletak
harga adalah segalanya.

Rumah ini ruangnya kecil dik
namun luasnya terpendam
mencari wangian syurga
dalam kita menongkah perjalanan.

Rumah baru ini dik
bukanlah akhiran buat kita
terhenti  di hentian selesa
adalah persinggahan
menuju jalan abadi
dalam rumah yang sebenar-benar
baru buat kita.
Terima kasih dik
kerana memahami abang
sekian lama.

Badrul
Adunmasblogspot

Maafkan aku Kuala Pilah



Maafkan aku Kuala Pilah

Tanggal Hijrah kali ini
maafkan aku Kuala Pilah
yang mendewasakan perantau
 memahat hidup di dada
menyemai bakti di batas
membalut luka kehidupan
pada pintu mukim mu.

Lambaian ini tangisan
tertitip bicara diam
kerana kelam dan suram
mengatur sesak jalan mu
ku lihat berpanjangan.

Maafkan aku Kuala Pilah
dalam hemah dan tamah
kau ku tinggalkan
bersama taulan dan rakan
menjati akrab bertunjang
menjalur budi sepakat
di kala meriah dan duka.

Sepanjang terhenti  berdiri
segalanya menyaksi
kau masih menyepi
dibalik tirai janji
tertabur di pintu kemenangan
yang tak dapat dinikmati.

Maafkan aku Kuala Pilah
kerana aku hanya
mampu memerhati seketika 
dipersinggahan ini
kerana bicara tulus
memberi aku erti
akan cinta sejati
mula berputik disini
dan aku pula
terpaksa pergi
menemukan persinggahan abadi.

Maafkan aku Kuala Pilah
aku datang dan aku pergi
ketika ada calar di dada.

Badrul
Adunmasblogspot


Aku dan Pelajar Itu
Pelajar itu amat taat
 menyulam ketekunan
meredah garis sempadah gigih
 merentas usia bukan sempadan
dalam kejituan semangat tabah
mengejar  gapaian harapan cita
menerobos dunia ke keluargaan
membahagi tika dan masa
di pintu tanggungjawab hakikat
selain  suri dan kerjaya.

Pelajar itu amat setia
setiap tutur memintal faham
lalu seringkali ku ajar
tentang semangat
tentang sabar
tentang yakin
tentang berani
tentang tabah
sambil menyimpul tugas
di bahu menggalas.

Pelajar itu amat hebat
memenuhi keizinan itu
dengan kejujuran kesungguhan
menelaah helaian masa
mencatat nota kehidupan
tanpa menyisih beban
dengan zikir percaya
menadah kesyukuran
menuju mercu puncak jaya
bersama segulung kejayaan.

Pelajar itu menemui aku
penuh rasa bangga dan terharu
setelah lengkap pengajiannya
memahat tanda kasih
atas segala tercurah
atas rasa terima kasih
atas restu keizinan
atas bantu memahami
atas segala tercurah.

Pada saat kegembiraan menanti
segala meriah kita kongsi
dalam tawa derai air mata
semangat menewaskan halangan
dalam menghangatkan kegembiraan
pada kucupan mesra ikhlas sanubari
membalas kepercayaan jasa dan budi
sebagai guru dan suami.

Pelajar itu adalah isteriku.
Tahniah dan selamat bergraduat
27 November 2014
dari aku suami dan anak-anakmu.


Badrul
Adunmasblogspot

Rentetan 2



Rentetan 2
Aku dan Waja

Aku dan waja ke kota lagi
menambah biaya
sewaktu belanjawan menjanjikan sejahtera
ketika mengira yang perlu didahului
warkah pemotongan Tnb
dan bahan bakar ke kota.

Ku tamatkan kuliahku
ketika malam kota baru bermula
mencari jalan pulang
dalam tersenggut meredah
gemerlapan lampu kota
waja ku meredah lelah
disapa desir angin malam kota
menyingkap segala
yang sukar ku ungkap.

Ku terima biaya pertama kudrat kota
segala ku langsai sekelip mata
dan yang tertunda itu
mungkin belum sampai masa
mengharap usaha tertabur
pada pengharapan yang tak terkubur.

Malam ini jalan pulang waja ku berbeza
gerimis ramah mendingin panas waja
kota yang menelanjangkan segala
menyelusuri laluan mendongak
bertapa perkasa menggapai langit.

Jeling neon dan gadis genit
entah apa warganya
bersama hinggar yang menggoda
ku temui dalam jalan pulang
di saat sukma ku
abadi kepada kekasih
pada perkasa waja
sesetia menemani ke kota
dan mencari jalan pulang.

Badrul 
Adunmasblogspot