Sabtu, 19 Februari 2011

WAJAH KITA SERUPA


Wajah kita serupa
Darah merah adalah sama
Usah biarkan menjadi pekat hitam
Kerana kita adalah pengisi
Rumah harmoni.

Hilangkan segala sengketa
Walau apa warna kulit mu
Kerana kita adalah pewaris
Rumah makmur.

Hulurkan semangat bantu
Cekal satu ikatan
Teguh dibawah kerukunan
Berteduh pelembagaan.

Bertautlah atas rasa kecintaan
Tali persaudaraan kita kukuhkan
Walau apa kepercayaan
Tiada garis pemisah yang menghalang.

Kita adalah bangsa berdaulat
Negara penuh limpa kurnia
Berganding menjana wawasan
Rupa jiwa yang satu
Arah yang dituju
Matlamat yang jitu.

Setiap inci tanahair
Maruah kita bersama
Harus kita pertahankan
Senada dan seirama
Satu bangsa Malaysia.

 Nukilan.
Badrul Hisham Ghazali

SELOKA SI REMPIT


Tatkala heboh mula diperkata
Entah bagaimana mendapat nama
Atas jalan kononnya juara
Tersungkur jua mula merana.

Bagai sungguh digelar rempit
Sekali pecut bagai pelesit
Kerana fikiran dah mula sempit
Kalau difikir cari penyakit.

Alasan diberi nak tunjuk jantan
Padan dengan betina berkenan
Aksi lagak diatas jalan
Ngalahkan beruk kena belacan.

Bertambah hebat satu tayar
Boleh berbaring masuk gear
Adat bertaruh kena bayar
Habuan dikejar awek dipugar.

Jumpa selekoh di konar baring
Saja nak test kuatnya spring
Ekjoz ada tak cukup bising
Teguran diberi tak ambil pusing.

Tayar depan biasa di angkat
Yang belakang pun boleh dibuat
Bila polis adakan sekat
Mula buat muka nak tobat.

Darah muda dikata gelora
Sahut cabaran tak kena gaya
Di jalanraya hilanglah nyawa
Sesal kemudian dah tak guna.

Jalanraya bukan tempat lumba
Apatah lagi menunjuk gaya
Walau aksi sungguh pesona.
Tapi sayang salah tempatnya.

Hargai keselamatan orang lain
Nyawa bukan dibuat main
Undang-undang tidak  prihatin
Akhirnya tubuh yang dibalut kain.
Gelagat terlibat ambil iktibar
Dari terusan menjadi tegar
Ingatkan pesan walau sebentar
Kelaku yang buruk harus di selar.

SELOKA PASANG DUA



Usia meningkat tak dikira mula
Rasa gelora meningkat cita
Alasan bukan nafsu semata
Mencari hidangan yang muda pula.

Cinta pertama dirasa lama
Ulam baru hendak di cuba
Pasangan lama usia tak sama
Lagi difikir tambah merana.

Mula berfikir dalam kepala
Mencari salah apatah dosa
Rasa nak buang sayangnya pula
Umpan yang muda mula mengena.

Kalau ditanya saja nak cuba
Benda berharga barangnya lama
Silap ditegur dibilang gila
Contohnya diberi tua kelapa.

Jalan dicari dah tahu bagaimana
Mestilah pandai cara bermuka
Pasanglah badan penuhlah bergaya
Barulah dara jatuh pesona.

Sesekali tersua berkenyit mata
Apa dikira orang nak kata
Mencari jalan sempadan sana
Moga hajat dapat laksana.

Kasihan nasib jadi pertama
Mencari teman ditambah dua
Walau dihati rasa tak rela
Kalau dah jadi nak kata apa.

Berperang sudah bermusuh pula
Tak terima kata derhaka
Bila dah dapat mula dilupa
Pejabat agama tambah sengsara.

Madu dan racun dikata sama
Permata dah ada jadi huru hara
Menyesal kemudian dah tak guna
Baru dikata dah itu takdirnya.

Tamat sudah seloka pasang dua
Buat pedoman bukan pandang saja
Syukurlah dengan apa yang ada
Selamat akhirat dunia pun juga.


Jumaat, 18 Februari 2011

PETALA DI GEMALA


Merafak menjunjung taat kasih penuh setia
Kembang seroja mengharum di telapak hati
Mewangi pertiwi semerbak kasih sejati
Kembangnya kemudi di sanubari.

Negaraku gagah amat tercinta
Pelbagai arena bangsa berbilang budaya
Bersatu bersama beriringan menggerak rasa
Membina megah negara penuh sekata.

Satu kita kehendak untuk semua
Sama rasa menjinjing sama di cita
Kukuh perpaduan adalah benteng negara
Menjadi sebutan ikutan pelusok dunia.

Mari kita warnakan semua bersama
Corak indah pelangi kita melakar
Tenteram sejagat amanah milik kita
Tunas pewaris di bimbing tegak terlaksana.

Tanahair ini bertunjangkan tuah pusaka
Sinarnya adalah obor warga yang membara
Mengucap kalimat bergalang nyawa
Paksi kerukunan kehidupan sejahtera.

Lembayung rahmat dibawah seri paduka
Gerhayu daulat sumpah keramat berzaman
Satu suara  berpadu menjadi tangkal azimat
Mengukir kejayaan milik kita untuk semua.

Khamis, 17 Februari 2011

Sebermula Kisah

Tanda-tanda yg melingkari kehidupan memberi peringatan dan ingatan. Tanda jalan memberi panduan agar tidak tersesat dan melanggar peraturan. Tanda amarah alam maka berlakulah apa yang dipanggil bencana, malapetaka malah turut dipanggil kecelakaan. Andai awan berarak mendung maka itu tandanya nak hujan. Kekadang tanda-tanda itu membawa kebenaran tapi belum tentu menjadi kenyataan.Tanda pengenalan harus dibawa sebagai pembuktian kewarganegaraan.Tanda lahir sebagai kenangan, tanda terima kasih selalunya dengan ucapan, tanda kasih selalunya menaruh pengharapan, tanda cinta adanya pemberian, tanda keikhlasan dibalas kejujuran tanda sayang pasti hati tertawan.

Tanda beramal adanya taqwa dan iman, tanda kiamat bacalah dalam kitab, tanda curiga sudah tentu cemburu, tanda berilmu pasti akhlaknya mulia, tanda kusyuk penuh tawaduk, tanda tanya tentu tak keruan, tanda berseteru selalu tak bersetuju, tanda marah berubah wajah, tanda resah penuh gelisah, tanda setuju pasti jadi.
Tanda curang kekadang gincu dibaju, tanda sakit mencari ubat, tanda jemu mukanya layu, tanda suka meloncat gembira.Tanda sedih hatinya pedih, tanda gila tak henti cerita, tanda benci acuh tak acuh. Tanda sombong mendabik dada.Tanda nak siang kokoknya ayam, tanda bodoh tk boleh diajar, tanda tangan satu penghormatan, tanda jadi cincin dijari. tanda malas tak boleh disuruh, tanda degil tk bleh diharap.Tanda dibadan selalunya parut, tanda diingat selalu disebut, tanda perlu bila dijemput, tanda kenyang duduknya bersenang, tanda terpikat sering menyakat.

Namun tanda-tanda bila mulut mula disuap bubur, mata pun dah mula kabur, gigi pula mula berterabur itulah tanda kita dah mula dekat dengan kubur.